Memasuki tahun 2018, ini merupakan kali kedua berturut-turut cef selebriti dan penyanyi Datuk Fazley Yaakob dilantik sebagai duta pelancongan halal Taiwan oleh Kementerian Pelancongan negara itu.
Kali pertama Fazley dilantik sebagai duta pelancongan Taipei adalah pada tahun lepas.
Pelantikan itu turut membawa rombongan empat organisasi media dari Malaysia termasuk Kosmo! bagi mengikuti program Fun Taipei Media Familiarization Tour With Fazley Yaakob yang berlangsung selama lima hari empat malam itu.
Berlangsung dari 22 hingga 26 Ogos lalu, ia turut memberi peluang kepada pihak media untuk menyertai beberapa lawatan ke lokasi menarik di sekitar bandar Taipei. Antaranya adalah Ningxia Night Market, Beitou Thermal Valley, Ximending dan Shi-dong Market. Malah, media turut dibawa ke beberapa premis makanan terkenal di sana iaitu Fried Chicken Master, Ice Monster, Chang’s Beef Noodle Restaurant, Jingjimoo Dessert Shop dan Formosan Coffee.
Lebih menarik, rombongan media turut dibawa merasai pengalaman membuat sendiri kuih tat nenas di premis pembuat kuih tat halal, Kuoyuanyi Pastry Shop.
“Sejujurnya, saya cukup teruja dan berbangga kerana diberi kepercayaan menjadi duta kempen ini selama dua tahun berturut-turut. Ini bermakna pihak pelancongan Taipei dan kerajaan Taiwan juga percaya dengan profil serta apa yang saya telah bawa sebelum ini dalam mempromosikan tempat mereka.
“Selepas kembali ke sini, saya lihat banyak perubahan yang berlaku, antaranya pertambahan premis makanan halal. Kalau dulu cuma ada puluhan, sekarang sudah cecah ratusan.
“Ia membuktikan kepekaan dan keprihatinan kerajaan Taiwan sendiri dalam menggalakkan kedatangan pelancong Muslim dari seluruh dunia, sekali gus menepis skeptikal takut untuk datang ke negara yang bukan Islam kerana kesukaran mencari makanan halal,” katanya yang menganggap lantikan itu menjadikannya sebagai duta kecil buat negara.
Pada rombongan baru-baru ini, Fazley turut berkongsi idea baharu apabila menggabungkan masakan dari dua negara dalam satu rasa iaitu menu gabungan ayam goreng halal pertama di Taiwan, fried chicken master dengan kuah masak lemak cili api.
“Pertama, saya gabungkan kuah masak lemak cili api dengan ayam goreng halal pertama di Taiwan. Ia sesuai dengan objektif kerajaan Taiwan untuk meyakinkan pelancong dari luar terutama Muslim untuk mendapatkan makanan halal ketika datang ke sini,” jelasnya.
Tanggungjawab
Mengenali sisi peribadi bapa kepada empat cahaya itu, beliau bukan seorang yang gemar menerima sebarang tawaran menjadi duta hanya kerana bayaran.
Sebaliknya, Fazley seorang yang sangat komited dengan tanggungjawab yang diberikan. Oleh sebab itulah beliau berusaha membawa nama Malaysia ke mata dunia menerusi makanan tradisional tempatan.
“Selama enam tahun selepas menang Masterchef, saya masih menekankan bahawa makanan Malaysia itu adalah makanan tradisional tempatan.
“Apabila bercakap tentang beberapa menu yang kita selalu makan, contohnya roti canai dan nasi lemak, ia agak subjektif. Sebab di negara lain pun ada seperti Indonesia dan India.
“Jadi sudah tiba masanya untuk kita kenalkan makanan tradisi tempatan berdasarkan negeri dan daerah. Contohnya, laksa Johor dan Kelantan, nasi kerabu dan nasi ambeng yang menjadi wajah Malaysia untuk diperkenalkan kepada orang luar,” ujarnya.
Cerita Fazley, 40, sejak dilantik menjadi duta di Taiwan, beliau menerima banyak tawaran daripada restoran tempatan untuk berkolaborasi dalam menghasilkan menu Malaysia.
Salah satunya adalah pihak Amba Hotel di Songshan yang merupakan penaja penginapan trip Fun Taipei.
“Dalam kepala saya sudah terfikir untuk memperkenalkan rendang. Lebih menarik kalau saya dapat perkenalkan rendang campur iaitu yang dimasak sekali dengan paru-paru dan limpa.
“Ia memandangkan penerimaan Taiwan terhadap makanan Malaysia sangat baik. Mereka kata makanan kita kaya kerana ada banyak bahan-bahan di dalamnya berbeza dengan makanan mereka,” ujarnya teruja.
Nyanyian
Ironi, sejak menceburkan diri dalam bidang masakan hampir enam tahun lalu, Fazley yang sebenarnya telah mencipta nama dalam industri nyanyian terlebih dahulu terus tenggelam daripada bidang nyanyian meskipun pernah mengeluarkan lagu Chocolate Cake pada 2013.
Ramai juga peminat yang tidak mengenalinya sebagai penyanyi lagu Asmara Ini.
Ia berlanjutan kepada beberapa perkongsian kisah lucu yang dialaminya sendiri apabila berhadapan dengan peminat ketika berada di luar.
“Antara perkara yang sering dikatakan mereka adalah wajah saya dengan ‘Abang Asmara’ lebih kurang serupa. Namun, mereka tidak tahu bahawa kami adalah orang yang sama.
“Ia agak melucukan sebenarnya, namun dalam masa sama, saya berasa bangga sebab walaupun orang fikir kami manusia yang berbeza tetapi peminat masih kenal siapa itu Cef Fazley Yaakob,” ujarnya sambil ketawa.
Bukan tidak mahu kembali aktif dalam bidang nyanyian, malah beliau pernah menerima tawaran menyertai program nyanyian. Namun, masa yang sangat sibuk dengan kerja sebagai cef serta bisnes yang perlu diuruskan membuatkan Fazley terpaksa menunda hasrat itu.
Kini fokusnya sudah jelas. Apa yang dimahukannya adalah untuk kembali mewarnai industri seni suara dengan memberikan buah tangan terbaharu kepada peminat.
Fazley bakal muncul dengan sebuah lagu berjudul Wo Ai Te Ni yang dicipta oleh komposer Ajai dan dilancarkan pada Oktober depan.
“Meskipun ia menggunakan judul bahasa Mandarin, namun hanya ada satu baris lirik dalam bahasa itu. Menerusi lagu ini, Ajai mahu saya mengembalikan memori Asmara Ini yang bernada tinggi.
“Saya perlu untuk kembali dengan lagu sebegitu sebab mahu mengelakkan kekeliruan dalam kalangan peminat daripada berterusan,” ujarnya yang menjalani 50 peratus penggambaran klip video lagu tersebut di Taiwan, manakala selebihnya di Malaysia.
Sudah dua tahun memegang peranan sebagai duta pelancongan halal Taiwan, cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob berbicara tentang tanggungjawabnya menjadi duta kecil negara bagi memperkenalkan makanan tempatan di sana dengan objektif menarik lebih ramai pelancong Muslim.