Pesona Dalimawati, Zahiril Adzim


Bebas Kata Dalimawati, beliau mahu bebas memainkan pelbagai karakter, tidak hanya dilabel sebagai hantu.

Tidak ada banyak orang yang mengenali sosok Dalimawati jika beliau bukan memegang peranan Hantu Kak Limah. Bukan tidak ada naskhah lakonannya di kaca televisyen tetapi jujur cakap, tidak banyak yang mengingati kewujudannya. Hanya sutradara Mamat Khalid yang telah berjaya membentuk jenama lakonan beliau menerusi Hantu Kak Limah.

Hantu Kak Limah divisualkan dengan imej rambut panjang kusut, berwajah kusam, berbaju kurung berkain batik dan hampir tidak mempunyai dialog.
Bagaimanapun, karakter yang dimainkan oleh seorang aktres tanpa profil besar ini telah membadai keterujaan penonton dengan luar biasa sekali.

Menerusi filem trilogi Hantu Kak Limah telah memecah rekod sebagai filem paling laris di Malaysia dengan kutipan RM32.5 juta dalam tempoh 18 hari tayangan. Dua filem terdahulu yang menggunakan francais yang sama adalah Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Bertemu dengan Dalimawati yang tidak kekok disapa Kak Limah oleh kebanyakan orang, perkara pertama yang terluncur keluar daripada bibirnya adalah mengenai pembetulan namanya. Kata aktres itu, namanya bukan Delimawati tetapi Dalimawati.

Jika ada yang memandang remeh atau berasa itu nama komersialnya, balas pemilik nama sebenar Dalimawati Ismail, nama Delimawati adalah kesalahan yang sukar untuk diperbetulkan.

“Nama saya dalam kad pengenalan ialah Dalimawati Binti Ismail tetapi orang panggil Delima sebab sedap untuk disebut.

“Sampai hari ini kesalahan itu tidak pernah diperbetulkan. Nanti kalau awak tulis, boleh tolong perbetulkan? Tulis Dalimawati, bukan Delimawati,” katanya sopan.

Selain daripada isu namanya, Dalimawati secara peribadinya adalah seorang yang sangat lucu. Tidak seperti watak Kak Limah yang tidak banyak berdialog, anak jati Kuala Kangsar, Perak ini seorang yang bijak memeriahkan suasana.

Dalimawati yang melewati usia 62 tahun berkongsi suka dukanya sebagai pelaku seni dan erti kemerdekaan selaku rakyat Malaysia.



Kosmo!: Bagaimanakah anda boleh menjadi seorang pelakon?

Dalimawati: Sebenarnya sejak kecil saya suka tonton filem Allahyarham Latifah Omar. Jadi minat untuk menjadi pelakon telah ditanam sejak kecil. Kerjaya lakonan saya bermula pada tahun 1987 apabila Normah Damanhuri membawa saya ke set penggambaran sebuah drama.

Secara kebetulan pengarahnya Mat London, minta tolong saya untuk bawa watak seorang ibu yang nazak. Saya sendiri tidak sangka boleh menangis depan kamera pada waktu itu. Selepas itu saya terus aktif berlakon.

Definasi pelaku seni pada anda?

Kita orang dahulu, jika berlakon satu drama malu mahu mengaku diri artis. Sebab saya rasa diri belum cukup bagus dan belum ada karya yang benar-benar beri impak. Pada 1998, saya keluar dengan drama Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel arahan Mamat Khalid.

Drama itu yang menaikkan saya dan orang kenal siapa Dalimawati. Selepas itu baru rasa yakin untuk orang panggil saya seorang artis. Bagi saya ‘artis’ itu satu penghargaan yang besar daripada penonton. Hari ini semua orang boleh popular, tetapi bukan semua boleh jadi pelaku seni.

Banyak yang melihat anda sebagai ‘emas’ Mamat Khalid. Hal ini kerana hampir kesemua karya yang dihasilkannya mesti ada anda bersama. Apa pendapat anda?

Saya harus berterima kasih dengan Mamat Khalid kerana dialah yang menaikkan nama saya dalam industri lakonan. Bermula daripada Rombongan Cik Ke Sukan Komanwel, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya sehingga kepada trilogi filem Hantu Kak Limah.

Dalam filem Hantu Kak Limah walaupun saya hanya berlakon jadi hantu, tidak banyak dialog, tetapi watak itu berjaya meninggalkan kesan buat penonton.

Beliau memang seorang pengarah yang bijak untuk mencungkil lakonan terbaik pelakonnya. Sebab itu, saya tidak akan menolak andai menerima tawaran Mamat dalam apa jua karya.

Jenama Hantu Kak Limah begitu kuat pada anda, adakah ia satu rahmat atau tidak?

Saya bangga kerana sekurang-kurangnya nama masih dikenali sebagai pelakon walaupun sudah 62 tahun. Dulu jika orang panggil saya Kak Limah, saya malu.

Sebab filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sudah lapan tahun, sekarang ini keluar pula filem Hantu Kak Limah, jadi saya reda orang panggil dengan nama Kak Limah. Ia satu penghormatan. Maknanya walaupun jadi hantu, lakonan saya meninggalkan kesan dan diingati penonton.

Apakah impak populariti watak Kak Limah pada kerjaya anda?

Saya tidak nafikan soal populariti, sebab ke mana pergi orang akan jerit Kak Limah. Namun, sudah empat bulan saya tiada tawaran lakonan. Saya tidak tahu di mana silapnya.

Sepatutnya lagi meletup sebuah karya pelakonnya akan laris tetapi saya sebaliknya. Mungkin orang ingat saya akan meletakkan harga tinggi, walhal tidak begitu. Memadai saya mempunyai kerja seperti biasa untuk menampung kehidupan.

Sukar atau tidak untuk pelakon berusia memilih watak?

Memang susah kerana kebanyakan kami akan diberi watak mak atau nenek. Namun, trend drama hari ini pelakon berusia 40-an sudah diberi watak mak. Habis orang tua seperti saya hendak berlakon jadi apa? Jadi hantu sahajalah (ketawa).



Adakah anda kecewa dengan situasi tersebut?

Sudah tentu saya kecewa, jika di Hollywood lagi berusia nilai seorang pelakon itu makin tinggi. Di Malaysia bukan begitu, apa yang dikira adalah jumlah pengikut yang ramai dan populariti. Namun, saya anggap ia terpulang kepada rezeki masing-masing.

Pernah atau tidak mengidam sebarang anugerah?

Anugerah bagi seorang pelakon itu satu bonus. Sepanjang karier lakonan saya tidak pernah menerima anugerah dan tidak pernah pula mengimpikannya. Bagi saya memadai watak lakonan orang ingat sampai bila-bila seperti Cik Kiah dan Kak Limah. Hal ini kerana saya masuk bidang seni bukan untuk glamor atau anugerah, sebaliknya kerana minat serta kelangsungan hidup.

Apakah impian anda sebagai pelakon?

Saya harap biarlah artis lama diketengahkan kembali. Jangan dipinggirkan dan direndah-rendahkan harga pelakon senior seperti kami. Kami juga mahu terus hidup dan sayang dengan bidang lakonan. Saya hanya minat bidang lakonan, sampai hujung hayat andai diberi kudrat saya akan terus berlakon.

Boleh kongsikan erti kemerdekaan pada anda?

Walaupun ramai orang mengeluh seperti harga barang naik tetapi saya bersyukur menjadi rakyat Malaysia. Tidak kira siapa yang memerintah negara, meskipun hidup susah sekurang-kurangnya kita tidak pernah tidak makan. Negara juga kekal aman dan diharap apa yang kita miliki hari ini dihargai.

Tanggal 31 Ogos merupakan tarikh keramat buat seluruh rakyat Malaysia kerana hari ini, kita menyambut Hari Kebangsaan yang ke-61. Seiring dengan sambutan yang penuh bermakna, sisipan hiburan Kosmo! menggabungkan dua figura hebat dalam lapangan seni lakonan. Sengaja Kosmo! memilih tonggak utama filem Hantu Kak Limah, aktres Dalimawati sebagai penghias muka depan ruangan Hab Hib edisi merdeka. Biar sudah berusia 62 tahun, filem Hantu Kak Limah lakonannya telah mencipta sejarah sebagai filem yang mendapat kutipan tertinggi di Malaysia. Dalam tempoh 18 hari tayangan filem arahan Mamat Khalid itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM32.5 juta. Dengan kejayaan filem Hantu Kak Limah yang berjaya mengembalikan keyakinan penonton terhadap karya tempatan, Zahiril Adzim, jaguh seni muda kita mengharapkan sokongan serupa terhadap filem lakonannya Crossroads: One, Two, Jaga yang akan memasuki pawagam pada 6 September depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post