Aishah berhenti tagih hadiah


Aishah menegaskan beliau hanya mahu menukar saiz loket menjadi lebih kecil, bukan mahu menjualnya kerana kesempitan wang.

Sejak hujung minggu lalu, nama penyanyi Aishah menjadi panas gara-gara pendedahan berani matinya yang mendakwa barang kemas berupa rantai berlian yang diterima sebagai hadiah tambahan selepas bergelar juara program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) sebenarnya tiada nilai.

Rantai yang dikatakan bernilai RM80,000 diberikan oleh jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmida Othman atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida selaku penaja program popular itu.

Rentetan daripada pendedahan tersebut berlakunya ‘perang’ kenyataan antara wanita berusia 53 tahun itu dengan Vida. Vida kekal dengan pendiriannya bahawa rantai tersebut tulen cuma menghadapi susut nilai. Aishah yang telah mendapatkan pengesahan pakar mengenai ketulenan batu permata pada rantai tersebut bagaimanapun memberitahu beliau bukan mahu mencari gaduh.

Sebaliknya, penyanyi lagu Janji Manismu itu terpaksa bersuara kerana tidak mahu perkara yang sama berulang kepada artis lain dan berharap agar isu tersebut menjadi pengajaran kepada semua pihak sebelum bersetuju menerima tajaan untuk sesuatu program.

Mengapa baru sekarang Aishah membuat pendedahan mengenai rantai yang didakwa tiada nilai itu?

Aishah: Sebenarnya saya tahu mengenai nilai sebenar rantai tersebut dua minggu selepas menjadi juara. Waktu itu saya pada kedai barang kemas untuk mengubah suai rantai batu yang terdapat pada rantai tersebut pada saiz yang lebih kecil. Hampir setahun saya berdiam diri kerana cuba menggunakan saluran yang betul dan beri ruang untuk menyelesaikan perkara ini. Usaha itu gagal dan saya terpaksa mendedahkannya dalam laman sosial.



Apakah reaksi anda apabila diberitahu rantai tersebut tiada nilai?

Sudah tentu saya kecewa dan rasa diperbodohkan. Dalam program itu, pihak penaja memberitahu rantai itu bernilai sekitar RM80,000. Selepas saya membuat penilaian di kedai barang kemas, harga batu besar di tengah rantai emas putih tersebut bernilai hanya RM100. Jika benar susut harga, tidak mungkin turun sebanyak itu.

Ramai yang menyelar tindakan anda kerana rantai itu hanyalah hadiah tambahan. Bagaimana?

Memang ia hanya hadiah tambahan tetapi perbuatan menipu itu tetap salah. Bayangkan anda diberi bonus oleh majikan tetapi menggunakan wang palsu, apakah perasaan anda? Sama situasinya dengan saya.

Apakah perasaan anda apabila dikecam dan dikatakan tiada wang sehingga terdesak ingin menggadaikan rantai itu?

Saya menangis sedih kerana masyarakat kita mudah menjatuhkan hukum. Di mana keadilan kerana saya mangsa dan orang yang ditipu, tetapi saya juga yang kena kecam. Sudah banyak kali saya terangkan saya bukan mahu jual tetapi ubah suai pada saiz kecil. Ikutkan rantai itu sudah pun menjadi hak saya, terpulang saya mahu melakukan apa sahaja termasuk jika ingin menjual rantai tersebut.

Selepas membuat pendedahan dalam laman sosial, apakah kesudahannya?

Saya ditawarkan Lavida Coin yang sudah tentu tidak akan diterima. Saya hanya yakin wang yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Sekarang saya sudah tidak mahu apa pun daripada Vida kecuali permohonan maaf. Namun, dia tetap dengan pendiriannya yang mengatakan rantai itu tulen dan enggan memohon maaf. Jika benar tulen buktikan kepada saya. Itu sahaja yang saya mahukan.

Mungkinkah anda akan mengambil tindakan undang-undang berhubung isu ini?

Andai tiada jalan penyelesaian, saya akan meminta nasihat guaman terlebih dahulu. Maknanya, saya akan lihat apakah jalan terbaik yang boleh dilakukan. Saya tahu tindakan undang-undang selalunya memakan masa dan wang. Seperti kes saya bersama syarikat rakaman EMI, ia berjalan selama 10 tahun. Walaupun saya menang di mahkamah, saya tidak dapat apa-apa pun.



Mengapakah anda sanggup mengambil risiko mendedahkan hal ini kepada umum?

Sebagai penyanyi senior, saya harus bersuara kerana tidak mahu perkara yang sama berulang kepada artis lain. Saya juga tidak mahu penipuan seperti ini bermaharajalela dalam industri seni.

Besar harapan saya agar isu yang dibangkitkan menjadi pengajaran, bukan sahaja kepada artis tetapi pihak stesen televisyen supaya memperketatkan lagi soal penajaan dalam program mereka.

Sedar atau tidak tindakan ini boleh membahayakan karier seni anda sendiri?

Saya telah fikir dengan mendalam selama hampir setahun. Pihak Astro juga telah mengambil sikap berkecuali dalam isu ini dan jika begitu, tiada sebab untuk saya digam. Malah, saya telah mendapat jemputan untuk menghadiri Gegar Vaganza 5 pada 30 September ini. Soal kerjaya, sebelum ini sudah lama saya digam kerana politik, sudah terbiasa kerana percaya rezeki Allah ada di mana-mana. Sekarang sudah tiba masanya untuk saya perjuangan nasib anak seni pula.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?

Saya bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Malar. Selain itu, saya juga akan mengadakan persembahan pada Semalam Di Malaya mulai 15 hingga 16 September ini sempena sambutan Hari Malaysia di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Tiket berharga RM141, RM198, RM254 dan RM358 telah mula dijual. Peminat yang ingin mendapatkan tiket boleh membuat tempahan menerusi talian 03-233 17007 atau layari laman web, www.mpo.com.my.

Post a Comment

Previous Post Next Post