Peminat manikam di hati Syafiq Kyle


Persinggahan ke Brunei Darussalam baru-baru ini bagi melancarkan koleksi baju-T terbaharunya, Kylez RTW membawa seribu satu kenangan terindah buat Syafiq Kyle.

Tentulah, lelaki berusia 26 tahun itu bukan sahaja teruja dengan sambutan yang diberikan terhadap acara tersebut, malah Syafiq turut mengagumi sokongan secara total yang diberikan oleh peminatnya yang berada di luar negara.

“Sejujurnya saya agak terkejut dengan sambutan yang diberikan sepanjang majlis pelancaran berlangsung.

“Ramai yang datang dari pelbagai daerah di sekitar Brunei untuk memberikan sokongan. Terima kasih saya ucapkan,” ujar pemilik nama lengkap Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak memulakan bicara.

Pada majlis yang diadakan di The Rizqun International Hotel tersebut, Syafiq mengambil peluang untuk mendekati 200 peminatnya dan dalam masa yang sama, beramah mesra secara santai dengan mereka.

Mengulas lanjut, Syafiq mengakui tersentuh dengan perhatian yang diberikan oleh peminat khususnya terhadap karya-karyanya sebagai seorang anak seni.

“Saya tidak kisah jika mereka turut menyokong artis lain tetapi cukuplah jika mereka menyokong kerjaya dan karya-karya yang saya hasilkan,” ujarnya lagi.

Ditanya bilakah dia mula menyedari bahawa peminatnya kian bertambah di Brunei, Syafiq dengan spontan menjawab: “Sejak watak Ustaz Adam dalam drama bersiri Nur menjadi tular!”



Privasi

Masih lagi berbicara mengenai dirinya yang menjadi tumpuan masyarakat, Syafiq tidak menafikan tembok privasinya kini semakin terhakis dek peningkatan populariti.

Begitupun, ia bukanlah satu kebimbangan yang besar buat dirinya. Menurut pemenang tempat kedua Hero Remaja 2011/2012 itu, apa yang perlu dipraktikkan adalah sikap toleransi dan hormat menghormati.

“Sebagai contoh, jika saya tidak mahu bergambar dengan peminat atau mahukan masa sendiri, saya akan cuba menolak dengan sebaik mungkin tanpa menzahirkan tingkah laku biadab.

“Artis atau peminat, kita sama-sama manusia. Cuba bayangkan kita berada di tempat peminat dan berjumpa dengan orang yang kita suka, sudah pasti kita akan mengambil peluang untuk bergambar,” katanya.

Biarpun sering menjadi tumpuan khalayak, Syafiq bagaimanapun sentiasa meletakkan peminatnya sebagai tulang belakang yang sentiasa menyokong kariernya.

“Cuma, saya berharap agar peminat tidak terus mengidolakan saya.

“Sanjung karya saya tidak mengapa kerana saya di sini adalah bertujuan untuk menghasilkan karya-karya terbaik untuk mereka,” katanya lagi.



Nur 2

Beralih pada perkembangan kariernya, Syafiq kini sedang mempersiapkan diri sebelum memasuki set penggambaran bagi drama bersiri Nur 2 pada Disember depan.

Merupakan kesinambungan drama bersiri Nur yang telah mencipta fenomena luar biasa beberapa bulan lalu, Syafiq mengakui sangat teruja untuk bertemu kembali dengan keluarga kecilnya.

Bagaimanapun, menurut Syafiq, dia cuba untuk tidak berasa terbeban, apatah lagi apabila melihat harapan dan jangkaan khalayak terhadap karya arahan Shahrulezad Mohameddin itu.

“Kalau ikutkan, kita sebagai pelakon pasti mahukan karya kedua ini menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. Namun, menerusi perbincangan dengan pengarah, kami mahukan penggambaran Nur 2 kali ini berjalan sama seperti bagaimana kita melunaskan Nur edisi pertama.

“Kami tidak mahu ia kelihatan seperti dipaksa atau terlalu mencuba. Sekurang-kurangnya, hasil akhirnya nanti kelihatan sempurna,” tuturnya.

Dalam temu bual bersama Kosmo! minggu lalu, Amylea yang bertanggungjawab mencipta lirik untuk lagu Tak Pernah Hilang, iaitu runut bunyi untuk drama Nur merancang menerbitkan empat buah lagu bagi Nur 2.

Mengikut perancangan, dua buah lagu akan dinyanyikan oleh Amylea, Kaer dan Roman. Dua buah lagu lagi, Amylea merancang untuk diberikan kepada barisan pelakon yang terlibat.

Ditebak dengan soalan adakah bersedia jika diminta untuk menyanyi runut bunyi Nur 2, Syafiq tertawa kuat.

Menurutnya, dia terbuka dengan peluang tersebut tetapi risau jika tidak mampu memberikan persembahan nyanyian yang memuaskan.

“Kalau pihak produksi inginkan saya menyanyi lagu bagi Nur 2, mungkin perlu diberi bimbingan dari segi vokal.

“Secara peribadi, saya memang tidak tahu menyanyi. Bagaimanapun, jika benar saya berpeluang menyanyi kelak, produk akhirnya akan menjadi bagus atau terlalu teruk,” ujar Syafiq berseloroh sambil menyambung tawanya.

Menyambung perbualan, Syafiq memberitahu bahawa pemilihan runut bunyi begitu penting bagi sesebuah drama.

Akuinya, dia sendiri menjadikan lagu Tak Pernah Hilang sebagai penebat emosi sepanjang penggambaran agar watak Ustaz Adam yang dijayakan sebelum ini dihidupkan dengan baik.



“Apabila ditawarkan untuk membintangi sebarang drama atau drama bersiri, saya akan bertanya kepada pengarah berkenaan lagu runut bunyi yang akan digunakan.

“Ia bukan sahaja menjadi penghias cerita tetapi turut membantu saya menzahirkan emosi sepanjang proses penggambaran,” jelasnya.

Sindiran
Selain Nur 2, Syafiq juga baru selesai menjalani penggambaran sebuah telefilem bergenre komedi berjudul Pengantin Lari Culik Artis.

Berpasangan dengan penyanyi dan pelakon Nabila Razali, Syafiq diberi tanggungjawab untuk memegang watak sebagai Jay Johan, seorang pelakon yang mementingkan diri dan kurang senang dengan peminatnya.

Menariknya, telefilem berkenaan merupakan satu sindiran berhemah yang diangkat dalam naskhah santai untuk menggambarkan industri hiburan secara keseluruhan.

“Mengikut skrip, telefilem ini dilihat mengkritik industri hiburan secara halus tetapi dalam satu satira yang bijak.

“Ia bukan sahaja merangkumkan perihal obsesi peminat terhadap artis, malah merungkai isu-isu sensitif berkaitan produser dan pengamal media,” ujar Syafiq.

Ditanya apakah watak yang ingin dijayakan pada masa depan, respons Syafiq: “Kalau diberi peluang, saya mahu membawakan watak seorang penyanyi rock.

“Ia tidak sekadar dapat memberi pengalaman baharu tetapi mempersembahkan sisi kehidupan artis kepada khalayak,” katanya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post