Pasca rehat 18 tahun Flop Poppy


Flop Poppy bukan satu jenama kumpulan yang popular pada masa kini. Bagaimanapun, bagi generasi yang lahir sekitar tahun 80-an, kemudian menikmati muzik dari era 90-an hingga tahun 2000, lagu-lagu yang dihasilkan daripada kumpulan itu adalah antara yang terbaik pernah dihasilkan dalam industri hiburan tempatan.

Tempoh 18 tahun membawa haluan masing-masing sama sekali tidak pernah melunturkan silaturahim antara lima orang anggota asal kumpulan itu iaitu Andy, Mijie, Bakri, Megat dan Wandy.

Pemergian bekas pemain dram yang pernah menjadi sebahagian daripada Flop Poppy, Allahyarham Azman Ismail, 45, pada Jun lalu menjadi titik tolak lima anggota asal tersebut untuk kembali bergabung di atas nama yang sama.

Menurut pemain bass, Wandy, idea tersebut pada mulanya datang daripada dirinya yang berasakan mereka perlu membuat satu persembahan sebagai tanda penghargaan kepada arwah Azman atau lebih dikenali sebagai Man Kanan yang pernah menjadi sebahagian daripada mereka.

Namun, dia tidak menyangka pertemuan dan perbincangan yang dibuat mencetuskan suatu cadangan baharu iaitu untuk bergabung semula dan kembali mewarnai industri muzik tanah air selepas hampir 20 tahun tidak aktif.

“Satu cabaran besar sebenarnya bagi mengumpulkan barisan asal Flop Poppy untuk berada di atas satu pentas kerana kami semua sudah mempunyai komitmen masing-masing. Maklumlah sudah 18 tahun tidak aktif.

“Namun, memikirkan semangat dan rasa cinta kepada Flop Poppy, maka kami cuba juga luangkan masa. Sebagai permulaan, mini konsert Rest Of My Life menjadi tanda awal kebangkitan kembali kumpulan ini dalam arena muzik tanah air,” katanya ketika ditemui usai persembahan yang berlangsung di Panggung Asia, Setor Gombak, baru-baru ini.



Terharu

Biarpun perancangan untuk mengadakan mini konsert dibuat pada 
saat-saat akhir, namun bagi Andy selaku vokalis amat berpuas hati dengan kehadiran peminat pada malam tersebut.

Secara jujurnya, dia berkata, jika cuma ada seorang atau dua penonton yang muncul pada malam persembahan, mereka sudah cukup gembira untuk meneruskan konsert apatah lagi apabila hampir 600 orang peminat yang hadir dan menyentuh hatinya.

Sempat mendendangkan sekitar 25 buah lagu hit mereka termasuk Cinta dan Rest of My Life dalam masa dua jam, tidak dapat dinafikan ia membawa kembali kenangan suatu masa dahulu sewaktu Flop Poppy menjadi antara kumpulan muzik yang digilai ramai.

“Apa yang paling penting pada malam ini adalah bersatunya kami berlima semula selepas 18 tahun. Ia suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan kerana inilah kumpulan muzik pertama kami semua dan kami membesar bersama.

“Kehadiran peminat yang datang pula menambahkan lagi semangat Flop Poppy untuk kembali aktif dan meyakinkan kami bahawa masih ada ruang untuk kami berkarya dalam industri seni kita,” jelasnya panjang lebar.

Saat ditanya mengapakah mengambil masa 18 tahun untuk bergabung semula, Andy berkata, itu semua sudah ditetapkan oleh Tuhan bahawa inilah masa yang terbaik buat mereka.

“Saya sendiri tiada jawapan bagi soalan itu. Apa yang boleh saya cakap adalah ini semua takdir dan kami hanya menggunakan peluang yang hadir sebaiknya,” terangnya lagi.



Album baharu

Tidak lengkap rasanya andai kemunculan semula kumpulan dengan nama sebesar itu jika tidak disertakan dengan buah tangan terbaharu sebagai hadiah mengubat kerinduan kepada peminat.

Kata Bakri selaku pemain dram Flop Poppy, mereka sudah menyiapkan 10 buah lagu baharu yang sedang menanti masa yang sesuai untuk menjalani proses rakaman studio.

Masih mengekalkan identiti muzik Flop Poppy, Bakri tidak menafikan lagu-lagu mereka kali ini mungkin akan kedengaran berbeza terutama dari segi lirik yang semakin matang seiring usia mereka sekarang berbanding sewaktu zaman kemuncak dahulu.

“Lirik-lirik pastinya lebih matang dan sesuai dengan perwatakan kami semua yang sudah semakin berusia, namun apa yang boleh dijanjikan, jiwa Flop Poppy dalam melodi tidak akan hilang.

“Kekangan utama untuk menyiapkan album sekarang adalah wang dan juga kelapangan masa kami berlima untuk berkumpul dalam satu studio. Jadi, kemungkinan besar album ini akan dilancarkan awal tahun hadapan,” tuturnya terperinci.

Memilih untuk melancarkan album berbanding single seperti yang menjadi amalan kebanyakan artis zaman kini, Andy menegaskan, mereka berpegang kepada prinsip iaitu tiada istilah single buat penyanyi sejati.

“Kami bukan budak baharu yang ingin menguji pasaran dengan melancarkan single satu per satu. Jadi jika mahu hasilkan sesuatu, biarlah datang dengan pakej lengkap sebuah album.

“Untung atau rugi, itu cerita kemudian hari. Apa yang penting kami berpuas hati dengan hasil kerja yang dibuat dan peminat menghargainya,” tegasnya sebelum menyimpul perbualan.

Hampir 18 tahun tidak bergiat aktif dalam industri, Flop Poppy kini bersedia untuk kembali mewarnai industri muzik tanah air bermula dengan persembahan mini konsert pada 1 September lalu dan juga album baharu tahun hadapan.


Post a Comment

Previous Post Next Post