Nabila Huda terharu watak Maria muncul dalam Munafik 2


Watak Maria lakonan Nabila dalam filem Munafik pada 2016.

Pelakon Nabila Huda, 34, mengakui terkejut apabila melihat watak lakonannya dalam Munafik, iaitu Maria dimuatkan dalam sekuel Munafik 2.

Nabila berkata, dia menyedari tentang perkara tersebut apabila menyaksikan sendiri filem arahan Syamsul Yusof itu di pawagam baru-baru ini.

“Sejujurnya, saya berasa sedikit terkejut apabila melihat ada babak berkaitan Maria dalam Munafik 2.

“Bagaimanapun, saya berasa terharu kerana Syamsul ingat juga pada saya,” katanya ketika ditemui di ibu kota di sini sebentar tadi.

Nabila merupakan heroin bagi filem pertama Munafik yang diterbitkan pada 2016.

Filem tersebut meraih keuntungan sebanyak RM17.04 juta.



Dalam pada itu, Nabila turut memuji Maya Karin yang turut menjadi tonggak utama Munafik 2 di samping Syamsul Yusof.

“Maya berjaya melakonkan watak Sakinah itu dengan sangat baik dan tuntutan kerekternya jauh beza daripada Maria,” katanya.

Tambah Nabila, sebagai pelakon, dia juga bangga melihat sokongan diberikan penonton terhadap filem Melayu pada masa kini.

“Saya sangat gembira melihat sokongan yang diberikan oleh penonton khususnya untuk filem Munafik 2 dan Hantu Kak Limah.

“Semoga semangat yang sama ditunjukkan menerusi filem One Two Jaga yang sudah mula ditayangkan di pawagam,” katanya lagi.

Setakat ini Munafik 2 berjaya meraih kutipan sebanyak RM21.6 juta manakala Hantu Kak Limah pula memecah rekod industri perfileman tempatan dengan RM35 juta.

Post a Comment

Previous Post Next Post