Mira Filzah, Remy Ishak saling mengenali


Pelakon, Mira Filzah mengakui dia mengambil masa agak lama untuk mencari keserasian dalam menjiwai watak lakonannya bersama gandingan rakan pelakon, Remy Ishak.

Menurut Mira, 25, walaupun ini merupakan kali ketiga berlakon bersama aktor tersebut namun ia masih memerlukan sedikit masa untuk mengenali karakter Remy.

"Ambil masa juga sebab dalam dua naskhah sebelum ini pun, saya dengan Remy bukan sparing hero heroin cuma adik abang, tak banyak sangat. Tetapi, pada kali ini kami hero dan heroin.

"Jadi, minggu pertama tu lah tempoh untuk saya dengan Remy mengenal satu sama lain," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Mira lagi, memandangkan projek terbaharu menerusi drama bersiri 18 episod, Lelaki Kiriman Tuhan memberi peluang dia dan Remy lebih banyak bergandingan, Mira berpuas hati.

"Seronok dan mudah bekerja dengan Remy tambahan pula team produksi yang senang untuk berbincang malah, barisan artis juga best," katanya lagi.

Mengulas tentang watak, Mira berasakan ia begitu dekat dirinya.

"Watak Naira ini dia seperti ketua keluarga selepas kematian bapanya dan seorang yang macam kasar sikit bila berhadapan dengan lelaki.

"Dari segi realitinya Naira dan saya adalah seorang yang berdikari yang boleh uruskan pelbagai perkara termasuk menjaga keluarga," ujarnya.

Selain Mira dan Remy, antara barisan artis lain terdiri daripada, Harris Anuar, PU Azman, PU Haris, Rozita Che Wan, Faez Nick, dan ramai lagi.

Drama arahan Rashid Sibir terbitan Zeel Production Sdn Bhd bakal memulakan siarannya pada 1 Oktober ini di Astro Oasis dan Maya HD setiap hari Isnin jam 9 malam.

Post a Comment

Previous Post Next Post