Jue Aziz Dah cubatapi belum sampai waktunya lagi


Jue sentiasa menanti khabar mengenai zuriat.

Sering diajukan soalan mengenai cahaya mata, pelakon Jue Aziz memberitahu dia kini enggan terlalu memikirkan tentang perkara itu.

Jue atau nama sebenar Zuliana Abdul Aziz, 34, berkata dia hanya berserah dan menganggap belum ada rezeki untuk memiliki zuriat sendiri.

"Kalau dahulu saya cuba macam-macam cara untuk hamil tapi sekarang hanya berserah sahaja.

"Saya dan suami ikut perancangan Allah, mungkin lambat sikit untuk dapat anak tapi saya percaya ada hikmah sebaliknya.

"Saya anggap masa untuk memiliki cahaya mata belum sampai lagi. Setiap orang ada jalan hidup yang sudah ditentukan, begitu juga dengan saya!," katanya.




Jue bersama suami, Bayu, ibu dan anaknya di malam meraikan kejayaan filem Hantu Kak Limah, baru-baru ini.

Jue berkahwin dengan pemuzik Indonesia, Bayu Pramana Putra Achmal pada 9 Mac 2014.

Pasangan ini mengambil seorang anak angkat iaitu Dawrish Naufal yang kini berusia lima tahun.

Sementara itu, pelakon drama Impak Maksima The Series ini memberitahu sudah mendapatkan pemeriksaan pakar bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan dia sukar hamil.

Bagaimanapun, doktor memaklumkan kesihatannya baik, namun rezeki itu masih belum tiba.

"Saya sudah menjalani pemeriksaan dan pernah berkongsi mengenai hal itu dengan peminat di laman sosial. Alhamdullilah, doktor kata tak ada masalah yang teruk pun.




Jue dan suami mahu fokus dengan perniagaan.

"Mungkin sebab tekanan kerja, iyalah sekarang ini saya dan suami bekerja keras membangunkan perniagaan kami berdua," katanya.

Bercakap mengenai jenama Snowing Angels yang diusahakan bersama suami, Jue memberitahu dia lebih selesa menggunakan cara promosi yang tidak melampau.

"Jika sebelum ini saya bersungguh-sungguh jual produk orang sampai kena game (tipu), sekarang ini saya bina produk dengan cara sendiri.

"Apabila bawa produk atas nama sendiri saya kena susun strategi dan sebolehnya tak mahulah jenama dikenali kerana gimik yang tak sepatutnya," katanya.

Sebelum ini, mStar Online bertarikh 3 Januari lalu melaporkan kontrak Jue bersama sebuah produk ditamatkan tanpa sebab munasabah walaupun sudah menjalankan tugas sebagai duta dengan baik.



Post a Comment

Previous Post Next Post