Impian Hairul Azreen, Ammar Alfian terlaksana


Sememangnya sejak dahulu, telah menjadi impian pelakon Hairul Azreen dan Ammar Alfian untuk terbabit dalam karya bersadur aksi. Satu faktor yang paling penting mempengaruhi impian itu adalah minat.

Kini, ibarat bulan jatuh ke riba, mungkin perumpamaan itu sesuai buat kedua-dua pelakon itu apabila impian mereka telah menjadi nyata selepas membintangi filem aksi Paskal yang mula menerjah ke pawagam seluruh negara pada hari ini.

Akui Hairul, 30, memegang watak sebagai anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernama Arman Anwar adalah sesuatu yang di luar capaian fikirannya. Masakan tidak, selepas beberapa tahun menanti, segala impiannya kini menjadi nyata.

“Kalau diikutkan saya sudah banyak berlakon filem sebelum ini, cuma tidak menjadi kerana diri banyak kekurangan. Selepas itu, saya baiki kelemahan diri sedikit demi sedikit daripada filem-filem tersebut.

“Sehingga sampai kepada filem Paskal, saya rasa ini adalah perubahan terbaik daripada saya kerana faktornya ia memang menjadi impian untuk tampil dalam filem aksi selain cita-cita bergelar tentera. Jadi apabila ia bergabung dalam satu naskhah, saya mampu memberikan yang terbaik dan menyeluruh,” ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan Paskal baru-baru ini.

Penghargaan

Dari raut wajah pemilik nama penuh Hairul Azreen Idris itu, mudah ditebak tentang perasaannya pada ketika itu yang bergulir antara rasa teruja, sebak dan terharu saat berbicara tentang Paskal.

Kata bapa kepada Yusuf Iskandar itu, filem Paskal bukan sekadar tentang kisah ketenteraan, namun dia berasa sedang menggalas satu tanggungjawab yang begitu besar di atas bahunya kerana ia berpandukan kepada cerita benar selain membawa nama Paskal itu sendiri pada mata masyarakat.

Jadi sudah tentu, tanggungjawab itu terletak pada bahunya selaku teraju utama untuk menyalurkan segenap rasa dan komitmen yang terbaik dalam menceritakan kisah pasukan elit negara itu.

“Saya tidak tahu macam mana mahu cakap. Ia ibarat saya pikul satu tanggungjawab besar kerana pertama sekali, ia berkisah tentang cerita sebenar.

“Sebab keduanya sudah tentu kerana kami membawa nama Paskal. Jujur saya akui, ketika mula mendapat tawaran ada bermacam perasaan dalam jiwa ketika itu sehingga saya mempertikaikan kemampuan diri adakah boleh membawakan watak itu atau sebaliknya.

“Namun, Alhamdulillah berkat latihan selama dua bulan dan kepercayaan diberikan pengarah, saya rasa sudah memberikan yang terbaik,” katanya yang mengakui babak berlawan menggunakan pisau adalah tugasan paling mencabarnya dalam Paskal.

Industri perfileman negara pada ketika ini sedang meriah dengan kutipan pecah panggung dua buah francais filem popular iaitu Hantu Kak Limah (HKL) dan Munafik 2.

Pada waktu kedua-dua filem itu mendominasi carta kutipan filem tempatan paling laris ketika ini, Paskal perlu bersaing untuk tersenarai dalam kelompok sama. Ditebak dengan sejauh mana jangkaannya terhadap sambutan peminat, Hairul menyerahkan segalanya kepada ketentuan rezeki kerana tidak kira apa jua isi kandungan yang dibawa oleh mana-mana naskhah, segalanya bergantung kepada untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Pun begitu, dia mengharapkan agar segala komitmen dan usaha terbaik yang dilakukan kru Paskal membuahkan hasil terutamanya dalam menawan hati penonton untuk datang ke pawagam.

“Selepas melihat sambutan luar biasa HKL dan Munafik 2, sejujurnya ia memberi saya lebih tekanan. Jadi sekarang saya sendiri tidak tahu macam mana, sebab sebenarnya ia bergantung kepada rezeki.

“Kami sudah berusaha dan memberikan yang terbaik, jadi apa yang tinggal sekarang adalah sokongan daripada penonton,” katanya penuh harap.



Kemunculan semula

Paskal yang menjalani penggambaran selama dua bulan sejak Mac hingga Mei lalu turut dibarisi pelakon seperti Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Theebaan G, Jasmine Suraya, Amerul Affendi dan Nam Ron.

Malah, Paskal turut menampilkan pelakon Hollywood, Tiger Chen sebagai bintang undangan.

Selain Hairul yang memegang tunjang utama, Paskal menampilkan pelakon Ammar yang memegang watak sebagai Jeb.

Kongsi pelakon berusia 31 tahun itu, pada mulanya dia berasa agak skeptikal untuk menerima watak Jeb kerana mengikut skrip, ia dilakarkan sebagai seorang antagonis.

“Sebab selama dua tahun saya mendiamkan diri dan kembali berlakon, tiba-tiba muncul dengan watak jahat sebegini. Jadi agak skeptikal pada awalnya untuk terima.

“Namun, selepas membacanya secara menyeluruh, saya tertarik dengan jalan ceritanya.

“Lebih-lebih lagi ia memang menjadi impian saya untuk berlakon dalam filem aksi dan melihat kepada jalan cerita yang menarik. Jadi saya fikir ini masa untuk mencuba sesuatu yang baharu,” katanya yang menerima tawaran berlakon Paskal secara terus daripada pengarah, Adrian Teh tanpa perlu melalui sesi uji bakat.

Tidak mahu melabelkan penglibatannya dalam Paskal sebagai kemunculan semula, Ammar lebih memilih untuk menjadikan watak Jeb mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

Hal ini kerana, dia masih dengan pendirian untuk selektif dalam menerima sebarang naskhah dan watak.

“Saya tidak rasa ini sebagai kemunculan semula sebab sebelum ini pun sudah banyak kali saya katakan perkara sama.

“Cuma, saya bukanlah seorang pelakon yang banyak dapat tawaran dan konsisten dalam industri. Namun, apabila muncul dalam filem ini, saya mahu watak itu beri impak. Sekalipun kalau peminat kritik sebab terlalu jahat, itu bermakna lakonan saya menjadi. Apa yang penting, saya sudah tidak kayu,” selorohnya.

Berpuas hati dengan penglibatannya dalam Paskal, Ammar turut menyifatkan ia satu penantian yang berbaloi selepas 10 tahun menanti ditawarkan peluang berlakon dalam genre aksi.

“Saya mula masuk industri pun memang dengan sasaran untuk genre aksi. Sebab itu saya bina badan tetapi apa yang dapat hanyalah cerita cinta. Walaupun terpaksa tunggu tempoh 10 tahun lamanya, namun saya rasa berbaloi dengan sikap selektif ini,” katanya.

Paskal juga akan ditayangkan di pawagam Singapura dan Brunei dalam tempoh dua minggu selepas memasuki pawagam tempatan. Lebih manis, ia turut mendapat tempat di luar negara apabila bakal memasuki pawagam Turki dan China menjelang hujung Oktober depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post