
Penglibatan pelakon berdarah kacukan, Datin Diana Danielle di dalam industri seni sudah bermula sejak dia kecil lagi.
Bermula dengan iklan komersial dan seterusnya beralih kepada bidang lakonan, kerjaya wanita berusia 28 tahun ini diuruskan mama tercinta, Norsiah Ramli.
Namun dedah Diana, walaupun kerjayanya diuruskan oleh mamanya, namun ada ketikanya dia perlu ke set penggambaran bersama krew produksi sekiranya ibunya ada tuntutan tugas yang lain.
Namun pengalaman nan satu ini ketika usianya belasan tahun itu tidak mungkin dilupakan dan terpahat utuh pada ingatan hingga kini.
“Ramai mahu ambil kesempatan terhadap artis baharu. Bukan golongan berada sahaja, ada juga di kalangan orang industri tertarik untuk mengenali artis dengan lebih dekat.
“Saya tak takut untuk kongsi perkara ini kerana ia memang berlaku.
“Pernah sekali saya didekati seorang pengurus produksi yang terpaksa menjemput saya di rumah untuk ke lokasi penggambaran kerana ibu saya tak dapat teman.
“Kejadian berlaku ketika usia saya baru 16 tahun. Mulanya dia melayan saya seperti biasa tetapi lama-kelamaan intonasi suaranya berubah membuatkan saya rasa tidak selesa.
"Mungkin disebabkan saya tidak melayan dan dia segan dengan mama, jadi dia tidak melebih-lebih dan ia berakhir begitu sahaja," ujarnya ketika ditemui di set penggambaran Raisha 2 baru-baru ini.
Tambah Diana, berdasarkan pengalaman itu, dia menterjemahkan menerusi drama terbaharu lakonannya, Raisha 2.
Jelas isteri kepada pelakon, Datuk Farid Kamil ini, di dalam drama berkenaan, terdapat babak dia digoda seorang pengarah, dilakonkan oleh Fadlan Hazim, yang ingin mengambil kesempatan terhadapnya yang mencari peluang berlakon.
Memegang watak sebagai Raisha yang tidak pernah puas dengan apa yang dia ada, Diana cuba membawakan karakter antagonis itu dengan sebaik mungkin menerusi pengalaman yang dilaluinya.
"Kalau nak cakap mengenai momentum agak sukar, tapi saya cuba mengikut gerak hati apa yang perlu dilakukan untuk watak Raisha.
"Contoh kalau kita tamak, bagaimana gaya seorang wanita yang tamak.
"Lagipun untuk Raisha 2, ia bukan lagi mengenai isu anak dan bapa tetapi lebih kepada isu seorang wanita yang tidak mahu mengubah cara hidupnya walaupun sudah berkahwin dan mempunyai anak.
“Saya cuba bawakan karakter ini dengan sebaik mungkin. Meskipun karakter ini akan dibenci penonton, saya tidak kisah asalkan mesej dan lakonan yang saya pamerkan sampai ke hati penonton,” jelasnya.
Raisha 2 yang diarahkan oleh Nizam Zakaria akan ditayangkan pada 10 Oktober depan di portal tonton