Zainal Abidin saran contohi Hollywood, Bollywood


MENGAKUI industri seni tanah air harus diberikan peluang sama rata untuk turut menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara, penyanyi berpengalaman, Datuk Zainal Abidin menegaskan penggiat seni perlu terus berusaha untuk ke arah tersebut.

Kata Zainal atau nama sebenarnya, Zainal Abidin Mohamad, 58, Malaysia sepatutnya mengambil contoh dari negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) dan India yang menjadikan industri kreatif sebagai antara penyumbang ekonomi terbesar negara.

“AS memiliki industri kreatif iaitu Hollywood manakala India terkenal dengan Bollywood. Industri mereka amat dikenali dunia dan merupakan penyumbang terbesar terhadap status ekonomi negara.

“Malaysia juga mempunyai potensi untuk bergerak ke arah itu andai semua pihak termasuk penggiat seni juga sedar tanggungjawab masing-masing. Kita harus membuktikan tidak seharusnya selalu menjadi opsyen industri yang terakhir dari segi sumbangan ekonomi,” getus pelantun lagu Hijau itu ketika ditemui Kosmo! pada sidang akhbar Konsert Ambang Merdeka Sayangi Malaysiaku 2018, baru-baru ini.

Cetak rompak

Tambah penyanyi yang sudah berkecimpung lebih 40 tahun dalam industri muzik itu, masyarakat juga seharusnya menyokong produk seni artis tempatan supaya industri terus berkembang pesat.

“Masalah cetak rompak sudah semakin merisaukan. Bagaimana industri mahu berkembang kalau masyarakat sendiri lebih suka mendengar lagu atau menonton filem secara haram?

“Kalau sayangkan Malaysia dan industri seni kita yang tidaklah sebesar mana ini, sila beri sokongan yang sewajarnya dengan menyokong produk seni tempatan.

“Barangkali juga, penguatkuasaan undang-undang berhubung hal berkenaan (cetak rompak) masih tidak dikuatkuasakan dengan ketat.

“Namun, kita tidak seharusnya meletakkan bebanan dan kesalahan sepenuhnya kepada pihak berkuasa andai khalayak sendiri tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya,” kata Zainal.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan supaya penyanyi muda popular masa kini menunjukkan teladan yang baik buat peminat. Baginya, sebagai artis mempunyai peranan besar untuk membentuk pemikiran masyarakat.

“Selebriti muda mempunyai pengikut berjuta-juta di Instagram, jadi mereka perlu menunjukkan contoh yang baik, harus sedar setiap tindak-tanduk mereka akan menjadi ikutan ramai.

“Menjadi selebriti bukan hanya ingin kejar populariti, tetapi mereka juga menggalas tanggungjawab besar. Jangan popular sedikit sudah riak dan sewenang-senangnya berkongsi trend yang bukan-bukan di laman sosial.

“Zaman dahulu, orang ramai amat memandang tinggi peranan selebriti seperti Allahyarham Sudirman Arshad. Jadi, berhati-hatilah andai berkongsi sesuatu perkara di Instagram atau Facebook,” tutur penyanyi yang sudah mengeluarkan 17 album sepanjang kerjayanya itu.





Konsert merdeka

Dalam pada itu, Zainal merupakan salah seorang daripada lebih 20 orang penyanyi yang akan menjayakan konsert sempena Hari Kemerdekaan ke-61 yang diberi nama Konsert Ambang Merdeka Sayangi Malaysiaku 2018 yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Konsert anjuran Union Works Asia yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos bermula pukul 9 malam tersebut dijangka akan dibanjiri kira-kira 10,000 pengunjung.

Mengulas tentang penglibatannya dalam konsert berkenaan, Zainal berasa teruja untuk menjayakan konsert bersama dengan barisan penyanyi lain yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-61 dan sebagai seorang anak seni, saya teruja untuk mengadakan persembahan untuk negara tercinta.

“Biarpun tampuk pemerintahan sudah bertukar tangan, misi kita tetap sama iaitu memajukan negara dan hidup dalam keadaan aman damai dengan masyarakat yang berbilang kaum,” jelasnya ringkas.

Selain Zainal, antara barisan penyanyi lain yang akan menghiburkan pengunjung pada malam ambang merdeka ialah Ella, Sakura Band, Resh dan ramai lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post