
Pelakon Zahiril Adzim memberitahu dia berpuas hati apabila akhirnya dapat memegang watak jahat setelah sekian lama.
Kata Zahiril, kali terakhir dia berlakon watak seumpama itu menerusi filem Kami dan Juvana.
Kini pelakon berbakat besar kembali dengan 'makanannya' dalam drama KL Ganster Underworld yang bersiaran menerusi penstriman Iflix.
"Dah lama saya tak main watak begini. Jadi saya sangat puas bila dapat karakter Adi ini.
"Bagi saya bila dapat watak antagonis ini, saya bebas berkarya kerana banyak ruang untuk saya teroka berbanding watak baik.
"Justeru, kita kena buat orang benci sebab itulah yang mereka suka sebenarnya," katanya.
Biarpun teruja, Zahiril bagaimanapun mengakui dia sedikit kekok kerana memerlukannya untuk menggunakan kata-kata kasar.
"Kalau ikutkan skrip memang ada perkataan yang tidak elok tapi macam tak sampai pula.
"Saya kalau boleh nak la hidupkan watak supaya orang boleh kaitkan dengan realiti. Contohnya orang boleh kata, aku pernah jumpa karakter macam ini dekat luar.
"Tetapi saya macam teragak-agak," jelasnya.
Pada masa sama, Zahiril, 34, berkata, meskipun diberi ruang untuk berkarya namun dia tetap menjaga batas.
"Apabila produksi panggil, kata nak minta tolong suruh 'push language' atau dalam kata lain, mencarut... saya ok sahaja.
"Namun dalam masa sama masih lagi menjaga batas, tak ada la sepanjang masa saya mencarut," jelasnya lagi.