Sufie Rashid terlibat kemalangan


Penyanyi Sufie Rashid berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Sri Hartamas, pada petang Selasa.

Berita tersebut dikongsikan bekas juara Akademi Fantasia ini menerusi laman Instagramnya, dengan memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan kesan kerosakan pada keretanya.

“Baru kena langgar. Semoga ada hikmah,” tulis Sufi sebagai kapsyen.

Bagaimanapun, Sufi yang merupakan penyanyi asal Singapura ini tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

Difahamkan kemalangan tersebut berlaku ketika Sufi dalam perjalanan ke sebuah salun rambut sebelum bahagian kanan kereta yang dipandunya dirempuh sebuah kereta lain.

Disebabkan kejadian yang tidak terduga itu, Sufi terpaksa membatalkan persembahannya di sebuah acara yang sepatutnya berlangsung pada petang tersebut.

“Agak teruk bahagian tepi kereta saya termasuk tayar dan pintu akibat dirempuh. Namun, mujurlah saya tidak cedera,” kata Sufi yang dipetik daripada sebuah portal berita.







Sufi yang mengakui trauma dengan kejadian tersebut sudahpun membuat laporan polis dan dalam masa yang sama sedang sibuk menguruskan perkara berkaitan dengan insuran kereta tersebut.

Dalam perkembangan lain, Sufi berjaya meraih lima pencalonan dalam Anugerah Planet Muzik 2018 (APM2018) yang diumumkan dalam sebuah sidang media pada petang Rabu.

Percalonan tersebut terdiri daripada Kolaborasi Terbaik (Lagu), Artis Paling Popular Singapura, Lagu Paling Popular Singapura, Lagu paling Popular APM dan Artis Paling Popular APM.

APM2018 bakal berlangsung di Teater MES, Mediacorp, Singapura pada 28 September depan.


Post a Comment

Previous Post Next Post