Simpan sikit-sikit, Wani Kayrie belikan ibu kereta


Lebih setahun menabung, penyanyi Wani Kayrie, 18, membuat kejutan dengan menghadiahkan ibu, Kay Sabah sebuah kereta Honda BRV, sempena hari jadinya yang ke-40, semalam.

Akui gadis berusia 18 tahun itu, lebih bermakna, kenderaan kegemaran ibunya itu dibeli melalui hasil pendapatannya sebagai penyanyi.

“Mama memang tahu saya mahu membeli kereta baharu untuk kegunaan keluarga. Jadi, bukanlah sesuatu yang mencurigakan apabila saya dan adik-adik meminta Mama singgah ke gedung jualan kenderaan terbabit.

“Kami sudah merancang meraikan hari jadi Mama di sebuah restoran. Mungkin dia fikir kami sekadar mahu meninjau sedangkan hakikatnya, saya sudah menandatangani semua dokumen jual beli.

“Mama tidak syak apa-apa kerana sejak beberapa bulan lalu, saya sudah suarakan hasrat mahu menggantikan kereta lama bagi memudahkan kami bergerak,” katanya.



Tambah Wani, ibunya tidak terfikir kereta terbabit diserahkan pada hari ulang tahun kelahirannya, semalam.

Anak sulung daripada tiga bersaudara itu mengaku hadiah berkenaan tidak setara dengan pengorbanan dan kasih sayang ibu tercinta.

“Sebagai anak sulung hubungan saya dan Mama sangat rapat. Dia seorang wanita dan ibu yang berjiwa kuat. Mama tidak mudah patah semangat.

“Mamalah pendorong dan insan yang percaya bakat saya. Sudah tentu saya dan adik-adik mahu membahagiakan Mama sampai bila-bila,” kata penyanyi lagu Jangan Jangan itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post