
Desas desus mengatakan pelakon, Sherry Ibrahim meninggalkan produk kosmetik Deeja dilancarkan dua tahun lalu terjawab apabila dia mengesahkan perkara itu.
Sherry, 35 atau nama sebenar, Syarizad Ibrahim ketika dihubungi berkata dia sudah menjual semua saham miliknya dan enggan lagi dikaitkan dengan jenama terbabit.
"Betul, saya tidak lagi bersama Deeja. Saya sudah menjual semua saham dimiliki dan sekarang ia diuruskan pihak lain.
"Saya perlu menjelaskan perkara ini kerana tidak mahu orang keliru. Lagi pula, masih ramai yang bertanya mengenai produk ini di Instagram.
"Jadi, selepas ini kalau ada sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan pihak mereka.
Buat masa sekarang saya mahu memberi fokus kepada bisnes tudung saja," katanya kepada Harian Metro.
Perkara itu menimbulkan persoalan sejak kebelakangan ini apabila Sherry dilihat kerap menghadiri beberapa acara membabitkan produk kosmetik lain.
Ditanya mengenai punca penarikan dirinya, Sherry menafikan wujud sebarang masalah hingga terpaksa berbuat sedemikian.
"Selepas dua tahun, saya berasakan ini waktu sesuai. Dalam masa sama, saya boleh fokus kepada satu perniagaan saja dan bidang lain.
"Saya juga tidak mahu timbul sebarang isu jika saya menghadiri acara membabitkan produk lain. Terima kasih kepada peminat atas sokongan diberikan selama ini," katanya.