Setiap orang mengimpikan sebuah kehidupan berkeluarga. Begitu juga dengan pelakon dan pengacara popular, Sherry Alhadad. Lebih-lebih lagi apabila sudah memasuki usia 30-an, sebagai wanita, Sherry juga mengakui dia tidak pernah lari daripada menerima pertanyaan-pertanyaan klise mengenai hasratnya untuk mengakhiri zaman bujang.
Sungguhpun begitu, pengacara berusia 34 tahun ini memberitahu, situasi itu tidak pernah dianggap mampu mengusutkan fikiran. Sebaliknya, dia menerima dengan hati terbuka. Tambahan pula, ceritanya, dia tidak menerima desakan daripada mana-mana pihak khususnya ahli keluarga yang mahu melihat dirinya ke jenjang pelamin.
“Kalau dahulu apabila orang bertanya bila nak kahwin, terfikirlah juga sasaran umur itu 25 tahun. Sekarang ini apabila dah melepasi usia tersebut, jadi sudah tidak kisah pun. Memang ramai orang sekeliling yang asyik bertanyakan hal itu kepada saya.
“Bagaimanapun, saya tidak kisah sebenarnya, saya okey sahaja. Asalkan, jangan mak saya yang mula bertanya sudahlah, orang lain tak mengapa. Cuma, hairan juga, mak saya tidak pernah pula tanya saya mengenai bila saya nak bawa balik menantu. Itu pun saya pelik juga,” katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Jelas Sherry lagi, dia juga tidak pernah berada dalam keadaan tertekan apabila acap kali diajukan soalan yang sama. Baginya, dia tidak mahu terburu-buru soal mencari teman hidup. Katanya, soal memilih pasangan hidup bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah.
Bahkan, katanya, dia juga tidak pernah terkesan dengan gelaran anak dara tua ataupun yang sering disebut sebagai andartu.
“Pada saya itu hanyalah gelaran sahaja. Saya bukanlah tidak berusaha (mencari jodoh). Cumanya, kalau kita nak bina hidup berkeluarga, perlulah yang betul-betul bersesuaian. Kadang-kadang kawan saya sendiri pun ada yang memperkenalkan (kepada lelaki).
“Saya bukanlah cari yang betul-betul sempurna. Apa yang penting biarlah kita saling melengkapi antara satu sama lain. Apa yang kurang padanya, mungkin lebih pada saya dan begitulah sebaliknya,” luah pelakon filem My Stupid Boss itu.
Jelas Sherry lagi, dia juga bersikap terbuka jika perlu membuat langkah pertama dalam sesi perkenalan. Bahkan, katanya, dia sendiri berusaha untuk mencari jodoh dan bukan hanya duduk mendiamkan diri.
“Ada sahaja lelaki yang saya berkawan, saya yang tegur dirinya terlebih dahulu. Saya okey sahaja.
“Cuma, sekarang ini saya tak faham. Orang kata, lelaki suka wanita yang kuat berjenaka, tetapi tidak ada pun (yang menghampiri), saya tidak dapat pun. Barangkali, saya kena mandi bunga kot,” selorohnya.
Jelas Sherry lagi, sekiranya dipertemukan jodoh, sebolehnya dia berharap agar biarlah lelaki itu bukanlah berstatus suami orang.
“Suami orang minta dijauhkan ya. Saya tak nak cakap lebih-lebih sebab kita tak tahu kalau terkena di batang hidung sendiri. Kalau boleh, minta dihindari. Cuma kalau dah terjodoh, jodohlah,” katanya yang mengakui karier seninya kini lebih terarah kepada bidang pengacaraan.