Usai hampir sembilan bulan menyulam alam rumah tangga bersama suami tercinta, perkhabaran mengenai ada denyutan lain dalam rahimnya benar-benar ibarat mimpi yang sungguh indah buat pelakon cantik, Mawar Rashid.
Ada getar bahagia, namun pada masa sama teruja, itulah perasaan yang tidak mampu diluahkan jelas bagi mana-mana ibu terhadap bakal bayi yang sedang dikandungnya.
Berkongsi rasa bersama Sensasi Bintang baru-baru ini, Mawar yang merupakan salah seorang peserta Dewi Remaja itu berkata, berita kehamilan itu benar-benar membuatkan dirinya sungguh gembira.
“Sudah semestinya saya berasa teruja dan gembira. Pada masa sama berdebar-debar ingin ada cahaya mata sendiri, namun tidak sabar juga sebenarnya nak tunggu saat bergelar ibu.
“Tidak sabar ingin pengalaman mempunyai cahaya mata yang ada dalam perut, melahirkan dan menjaganya. Bagi saya, ia satu pengorbanan terindah yang tidak sabar untuk dinantikan,” ujarnya dengan penuh kesyukuran.
Tambah Mawar, suaminya, Raden Ahmad Faizal Yaakob atau lebih dikenali dengan panggilan Raf juga sangat teruja dengan perkhabaran itu, malah sifat penyayang dalam diri suaminya itu juga makin terserlah.
Kasih Sayang
Seperti mana yang kita tahu, sebelum ini pemilik nama Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 23, ini amat rapat dengan anak tirinya, Raden Ahmad Rayyan, 7, dan Raden Seri Raysaa Chanela, 3, hasil perkahwinan terdahulu Raf Yaakob.
Saat ditanya mengenai adakah selepas ini cahaya mata sendiri mampu menggugat kasih sayangnya dalam membahagi kasih antara mereka?
Wanita kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu bijak menepis tanggapan berkenaan.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang mana mummy (ibu) Mawar penuh sifat kasih sayang. Dia ada anak angkat dan menganggapnya seperti anak sendiri.
“Jadi, bila Mawar dibesarkan dengan sifat mummy begitu, sedikit sebanyak sifat penyayang ada dalam diri,” jelasnya.
Justeru, katanya, dia melayan anak-anak tirinya seperti zuriat sendiri.
“Insya-Allah, memang daripada awal lagi, saya anggap mereka macam anak sendiri dan nanti apabila ada anak sendiri akan layan mereka sama rata.
“Untuk itu, Mawar akan terapkan nilai kekeluargaan kepada semua anak-anak. Biar mereka rapat antara satu sama lain seperti mana saya rapat dengan keluarga, adik-beradik dan dengan keluarga Raf,” katanya.
Berhenti sementara
Tidak dinafikan, kebanyakan ibu hamil pasti mengalami rasa penat dan alahan lebih-lebih lagi pada tempoh awal tiga bulan pertama.
Bercerita pula mengenai alahan yang dialami pelakon Tundukkan Playboy Itu, Mawar memberitahu, dirinya tidaklah mengalami alahan yang teruk, namun begitu ada perubahan terhadap dirinya berbanding sebelum ini.
“Sebenarnya alahan mawar tidaklah teruk sangat, cuma badan cepat berasa penat dan lemah.
“Dari segi pemakanan pula, alhamdulillah, saya boleh makan apa-apa sahaja,” katanya yang alah pada bau minyak wangi.
Demi menjaga kandungannya, Mawar telah mengambil keputusan untuk mengumumkan dirinya hamil pada tempoh yang agak awal kepada umum baru-baru ini.
“Orang cakap, selepas tiga bulan baru umum tetapi Mawar ambil keputusan berkenaan untuk menjaga keselamatan saya dan bayi.
“Saya mahu berehat dan tidak mengambil sebarang kontrak drama buat masa sekarang,” kongsinya.
Menurutnya, Mawar akan berehat daripada lakonan sehingga habis berpantang.
“Macam sekarang, Mawar sudah pastinya nak berehat sehingga habis tempoh berpantang,” katanya.
Raisha 2
Berbicara mengenai lakonannya, Mawar sempat menghabiskan kesemua babak menerusi drama berjudul Raisha 2 sebelum mengumumkan berita kehamilannya.
Diajak berkongsi penglibatannya dalam drama berkenaan, Mawar berkata, dalam Raisha 2, dia memegang watak sebagai Ika.
“Ika merupakan seorang gadis yang lemah lembut dan merupakan anak penghulu kampung.
“Ika belajar di sekolah yang sama dengan Fuad (lakonan Hafidz Roshdi). Sejak zaman sekolah lagi, Ika ada menyimpan perasaan terhadap Fuad.
“Ika kemudian melanjutkan pelajaran di luar negara dalam jurusan kedoktoran dan apabila pulang ke Malaysia, Fuad sudah berkahwin dengan gadis lain. Daripada situ, pelbagai konflik mula timbul,” ceritanya serba sedikit mengenai drama berkenaan.
Raisha 2 yang turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Diana Danielle dan Hafreez Adam. Ia bakal menemui penonton pada 10 Oktober depan.