Perginya figura bersuara emas Mahadzir Lokman


Gambar terakhir yang dimuat naik Mahadzir dalam Instagramnya tiga hari lalu menyaksikan beliau dengan dua kanakkanak bernama Madina (kiri) dan Madila yang tidak dinyatakan identitinya.

Pernah berkongsi pengalaman sedar daripada koma sekitar awal Oktober tahun lalu yang mendakwa dirinya seperti dalam sebuah pelayaran apabila sempat ‘bertemu’ arwah bapanya, Datuk Lokman Musa dan ibunya, Datin Nina Khadijah Abdul Rahman, Fouziah dan abangnya, Fadhil, tiada siapa yang menyangka Datuk Mahadzir Lokman pulang ke Rahmatullah pada Jumaat, 3 Ogos 2018.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun selepas subuh di sebuah hotel di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Ia seperti ‘satu mimpi yang kemudiannya menjadi sebuah realiti ‘ apabila Mahadzir ditemui oleh sepasukan polis dalam sebuah bilik sekitar pukul 11 pagi selepas beliau tidak turun bersarapan seperti biasa di hotel berkenaan.

Mati, itu adalah hakikat bagi kita kerana ia perjanjian yang pasti. Apatah lagi pulangnya Mahadzir pada hari Jumaat, hari yang didambakan kebanyakan daripada kita jika ingin dijemput Ilahi.

Pemergian Mahadzir yang mesra disapa sebagai Dale dalam kalangan warga media dan teman seperjuangan amat mengejutkan bukan sahaja buat kawanan media massa, tetapi juga seluruh negara.

Masakan tidak, selepas beliau keluar daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat komplikasi paru-paru dan buah pinggang pada Oktober tahun lalu tiada lagi berita mengenai kesihatannya digembar-gemburkan dalam media massa.

Justeru, ramai beranggapan tahap kesihatan Allahyarham semakin baik.





Bagaimana sebenarnya personaliti seorang lelaki gempal bersuara emas dan begitu disegani kebanyakan pengamal media ini?

Buat penulis sendiri, saya mempunyai secebis pengalaman ‘mengenal’ beliau sekitar tahun 2009 lalu atas tuntutan kerja.

Sebagai seorang junior dalam bidang kewartawanan, kesempatan menghadiri majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-52 sembilan tahun lalu di sebuah hotel terkemuka masih berbekas kemas dalam ingatan.

Lucunya, meskipun Dale merupakan orang yang diraikan, beliau juga merupakan penganjur dan pengacara majlis berkenaan. Usai majlis, sewaktu temu bual bersama penulis dalam tawa beliau sempat berseloroh: “Jimat bajet semua saya buat sendiri.”

Ya, walaupun wajah kelihatan serius namun, beliau mempunyai sisi humor tersendiri yang membuatkan dirinya cukup disenangi semua lapisan masyarakat. Semuanya dilayan sama rata.

Beliau adalah legenda dalam dunia pengacaraan. Mempunyai profil yang begitu cemerlang sejak bergelar wartawan penyiaran dan pembaca berita TV3, selain fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu, Melayu, Inggeris, Jepun, Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis, tiada siapa yang menandingi kepakarannya itu.

Pengalaman selama 34 tahun dalam bidang pengacaraan dan mahir dalam pelbagai bahasa menjadikan nilai beliau cukup mahal selaku pengacara. Disebabkan itu, beliau sering diberi kepercayaan untuk mengendalikan majlis-majlis penting negara antaranya Forum Pelancongan ASEAN ATF, Tilawah Al-Quran Antarabangsa dan Mesyuarat Menteri ASEAN.

Lelaki yang pernah menetap di Paris, Perancis ini amat komited ketika menjalankan tugas yang diamanahkan, malah pernah menahan sakit patah tangan kerana terjatuh ketika menjadi pengacara di pusat beli-belah Bukit Bintang Plaza, Kuala Lumpur. Sambil menahan sakit beliau tetap meneruskan tugas sehingga selesai.

Profesionalisme

Usai majlis, doktor mengesahkan tangannya patah sehingga terpaksa dimasukkan sebanyak 12 skru. Begitu tinggi komited terhadap kerja dan kerana itu beliau berada di tahap tertinggi dalam bidang pengacaraan. Tambah perit beliau terpaksa menahan sedih ketika mendapat berita kematian ahli keluarga termasuk bapanya, Lokman ketika mengacara majlis penutup Sukan Komanwel 1998.

Saat bekerja emosi perlu diletak ke tepi. Profesionalisme sebagai pengacara didulukan dan ia harga yang sangat mahal buat Mahadzir bergelar seorang pengacara yang disegani.

Satu pesannya yang masih disimpan kemas oleh penulis: “Dalam apa tugas sekalipun jangan sesekali berhenti belajar. Belajar, belajar dan terus belajar. Itu akan menjadikan kamu terbaik dalam bidang yang diceburi. Sentiasa ingat kerja itu amanah.”

Kebaikan dan sikap rendah diri beliau menyentuh hati ramai orang termasuklah bekas personaliti TV3, Ezzah Aziz Fawzy yang mempunyai pertalian keluarga dengan Allahyarham. Menurut Ezzah, beliau amat terhutang budi dengan Allahyarham yang sudah dianggap abang kandung dan mentor terbaik.

“Saya banyak belajar ilmu penyiaran daripada Abang Dale. Rezeki beliau dijemput Ilahi pada hari Jumaat dan semoga didakap khusnul khatimah.

“Sepanjang bekerja dengannya, beliau seorang yang pemurah dan tegas dalam melakukan tugasan. Tegas kerana beliau sentiasa ingin hasil yang terbaik. Seperkara lagi, beliau amat mengutamakan Allahyahram ibunya, dalam segala hal,” ujar Ezzah kepada Kosmo!.

Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza turut terkesan dengan pemergian Allahyarham yang pernah menjadi pengacara untuk Konsert Siti Nurhaliza In Royal Albert Hall, London pada 1 April 2005.

“Salam takziah dan Al-Fatihah. Banyak kenangan bersama arwah, salah satunya menjadi hos di Konsert Royal Albert Hall, London. Arwah seorang yang suka memberi ilmu dan baik hati. Semoga beliau di sisi insan-insan beriman di sana. Amin,” tulis Siti dalam akaun Instagramnya.

Perginya seorang figura hebat seperti Mahadzir Lokman tiada galang gantinya. Beliau cukup istimewa dan terbaik dalam bidangnya. Beliau akan sentiasa dikenang dan disanjung biarpun telah belayar ke negara abadi pada penghulu segala hari. Semoga roh Allahyarham akan ditempatkan dalam golongan orang beriman.

Post a Comment

Previous Post Next Post