Panggilan Hujan, Kugiran Masdo


Kumpulan Hujan dan Masdo pada sidang akhbar sempena Konsert Hujan X Masdo di Restoran Rebung.

BERMULA daripada hubungan antara peminat dengan band pujaan sekitar sedekad lalu, siapa sangka Kugiran Masdo kini diberi peluang dan mandat berkongsi pentas bersama antara pelopor band indie tempatan, Hujan.

Mengikut cerita Ali si vokalis Masdo, dia sering mengikuti persembahan gig band kegemarannya itu sejak di bangku sekolah. Pada masa tersebut, dia berusia kira-kira 17 tahun dan muzik Hujan sudah mula menikam peminat.


“Pada mulanya, saya dan Mawi (gitaris Masdo) merupakan peminat Hujan (Raingers). Mereka ‘naik’ sekitar tahun 2006 dan saya amat tertarik dengan band ini. Saya masih bersekolah ketika itu.

“Masih ingat lagi, lagu pertama yang memperkenalkan saya dengan Hujan adalah Ahmoi Chantek. Saya memang terpegun habis dengan muzik yang mereka bawa.

“Siapa sangka selepas 10 tahun, kami berkongsi pentas yang sama untuk menjayakan sebuah konsert. Suatu pencapaian besar buat Masdo,” jelas Ali ketika ditemui Kosmo! usai sesi ramah mesra dan makan tengah hari bersama Hujan dan Kugiran Masdo di Restoran Rebung, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Idola

Ditanya lebih lanjut berkenaan perasaan dan perancangan berkongsi pentas dengan idola mereka, Ali atau nama lengkapnya, Aliff Fahmi Bahtiar berkata, akan berlaku banyak kejutan menjelang konsert tersebut.

“Penonton yang hadir nanti memang tidak boleh menjangka apa-apa kerana persembahan ini bukan biasa-biasa. Apa yang kami boleh janjikan, wang yang dilaburkan akan berbaloi dengan ‘ciptaan’ persembahan di atas pentas kelak.

“Masdo akan menyanyikan sekitar lapan hingga sepuluh buah lagu. Kami akan menyampaikan lagu-lagu band-band indie popular yang sudah tiada atau telah dibubarkan,” kata Ali yang merupakan anak kelahiran Johor.

Masdo juga tidak menolak untuk mendendangkan lagu Hujan pada konsert berkenaan. Di samping itu, sama ada pemain dram Hujan, Am atau nama sebenarnya, Azham Ahmad, 38, akan bermain untuk Masdo atau Hujan, perkara tersebut akan terjawab pada hari kejadian.

“Hujan ada banyak lagu hit dan kami juga amat memuja muzik mereka. Masdo akan tetap dengan konsep kami iaitu ritma 1960-an, namun siapa tahu, mungkin kami akan menyanyikan lagu Hujan dan band itu akan menyanyikan lagu kami.

“Tentang sama ada Am akan bermain untuk Hujan atau Masdo, itu akan terjawab pada malam konsert. Memandangkan Am juga merupakan pemain dram Hujan, pasti menarik untuk hal ini didedahkan nanti,” kata Ali yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai jurutera bunyi di studio salah seorang ahli Hujan, AG Coco.



Rakam lagu di London

Menjawab persoalan berhubung hasrat band yang terkenal dengan lagu Bunga itu untuk merakamkan single terbaharu ciptaan kumpulan antarabangsa, The Bootleg Beatles di London terpaksa ditangguhkan pada tarikh lain.

Ali menerangkan, rakaman terbabit ditunda atas kekangan kewangan tidak mencukupi bagi menampung kos perbelanjaan di sana.

“Kami terpaksa tunda rakaman kerana berdepan masalah kewangan.

“Mengikut jadual asal, Masdo akan berada di London selama seminggu, jadi ia memerlukan kos tinggi seperti bayaran penginapan, pengangkutan, tiket penerbangan dan kos rakaman,” katanya.

Bagaimanapun, rakaman terbabit tetap akan diteruskan pada masa depan biarpun berdepan masalah kewangan.

“Jika tiada aral melintang, kami akan ke London pada November ini. Kami berharap impian ini akan tercapai dan proses untuk ke sana akan berjalan lancar,” tuturnya.

Terdahulu, kumpulan yang turut dianggotai Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass dan vokal) dan Asmawi (gitar dan vokal) itu pernah mengkhabarkan menerima pelawaan merakamkan single nyanyian asal kumpulan The Bootleg Beatles. Tawaran tersebut hadir selepas mereka membuat persembahan pembukaan sempena konsert jelajah kumpulan itu di Kuala Lumpur pada tahun lalu.



Kongsi pemain

Berbalik tentang isu pemain dram (Am) yang dikongsi bersama, Hujan yang diwakili vokalisnya, Noh Salleh mendedahkan, bandnya selalu menjadi keutamaan Am, khususnya menjelang konsert.

“Am akan mengutamakan Hujan berbanding Masdo. Itu memang janji dia sejak dahulu. Bagaimanapun, tujuan mengadakan konsert itu nanti untuk meraikan peminat masing-masing yang banyak memberi sokongan kepada kedua-dua band.

“Peluang mengadakan persembahan ini bagus untuk Hujan dan Masdo. Bukan selalu atau senang untuk kami berkongsi pentas yang sama. Kalau Hujan sahaja membuat persembahan, itu sudah terlalu biasa,” jelas Noh, 33.

Ditanya berkenaan konsep persembahan, AG Coco yang turut bertindak sebagai penyelaras konsert berkata, akan ada beberapa kejutan yang masih dalam perancangan kedua-dua band.

Ujar AG, beberapa segmen bakal mengujakan buat peminat.

“Kami akan menghiburkan peminat dalam durasi konsert sekitar dua jam setengah. Mungkin ada overture (persembahan muzik tanpa penyanyi), segmen paduan kedua-dua band dan persembahan penyanyi jemputan.

“Peminat mungkin boleh jangka Hujan akan main lagu Masdo dan sebaliknya. Ia bagi menghadirkan kelainan yang belum pernah dilakukan sebelum ini di mana-mana pentas,” jelas AG atau nama sebenarnya, Mohd. Hezry Mohd. Hafidz.



Festival muzik di Bali

Menurut AG lagi, Hujan akan menyanyikan lagu baharu sebagai kejutan pada persembahan nanti.

“Lagu sudah ada. Kami akan memperdengarkan kepada peminat pada malam persembahan nanti. Saya percaya, Masdo juga akan hadir dengan lagu baharu sebagai kejutan,” tuturnya.

Berbicara mengenai projek terbaharu, Hujan bakal mengadakan persembahan di Bali, Indonesia sempena dengan festival muzik diberi nama Festival Soundrenaline sekitar September nanti.

“Festival muzik ini adalah antara yang terbesar bukan sahaja di Indonesia, malah di Asia Tenggara. Saya pernah ke sana menonton persembahan pada tahun 2007.

“Bayangkan, mereka buat persembahan di kem askar kerana memudahkan kawalan keselamatan. Hujan berbesar hati untuk mewakili Malaysia selain penyanyi Zee Avi pada festival berkenaan,” jelas Noh.

Untuk Konsert Hujan X Masdo yang julung-julung kali diterbitkan oleh Rosli Mohamed, pengasas CST Production tersebut, penganjur turut bekerjasama dengan Dgrandstage Events bagi mendapatkan sentuhan baharu, khususnya gabungan elemen videografi di pentas acara. Penonton dijanjikan dengan sebuah pertunjukan bunyi dan pencahayaan hebat serta bakal digambarkan dengan bermacam input video kreatif yang akan dipaparkan pada layar diod pemancar cahaya (LED).

Tiket-tiket konsert yang bakal berlangsung pada 6 Oktober depan masih boleh didapati menerusi ilassotickets.com atau hubungi talian 03-2170 6333 untuk maklumat lanjut.

Dua band hebat, Hujan dan Kugiran Masdo akan bergabung tenaga dalam sebuah konsert yang diberi nama Konsert Hujan X Masdo. Konsert berkenaan bakal berlangsung di Pintu 2, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 6 Oktober depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post