Khai Bahar Seumur hidup, tak pernah berlumba


PEnyanyi Khai Bahar mengakui kini dalam debaran menantikan perlumbaan pertamanya dalam siri Toyota Gazoo Racing Malaysia, musim kedua yang bakal membuka tirai pada Sabtu dan Ahad ini di litar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Biarpun sudah melakukan persiapan dan latihan yang secukupnya, penyanyi yang popular dengan lagu Bayang ini tidak menafikan agak gementar untuk melangkah ke litar lumba yang merupakan pengalaman pertama kali buatnya.

“Seumur hidup, saya tidak pernah menyertai sebarang perlumbaan dan ini merupakan pertama kali buat saya.


“Memang teruja nak sahut cabaran, tetapi jujurnya saya agak gementar dan berdebar untuk memulakan perlumbaan yang akan berlangsung Sabtu ini.

“Apa pun saya cuba melakukan yang terbaik, apatah lagi sebelum ini telah menjalani sesi latihan yang mendedahkan saya dengan pelbagai teknik dan taktik perlumbaan yang perlu diketahui pelumba,” ujar Khai yang menghargai kepercayaan diberikan penganjur kepadanya.

Dalam pada itu, Khai juga mengarapkan agar para peminat mendoakan kejayaannya, malah menjemput mereka yang berada di sekitar Kuala Terengganu untuk datang memberikan sokongan buatnya.

“Saya harap peminat-peminat saya yang berada di Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya dapat datang memberikan sokongan buat saya.







“Untuk mereka yang tak dapat datang, doakanlah agar perlumbaan ini berjalan dengan lancar dan saya dapat lakukan dengan sebaik yang mungkin.

“Apa yang penting, saya tahu ibu juga mendoakan kejayaan saya dalam perlumbaan ini meskipun pada awalnya dia sangat risau degan penyertaan daya dalam aktiviti ini,” akui Khai kepada Sinar Harian.

Bertemakan Pushing the Limits, Toyota Gazoo Racing Malaysia musim kedua kali ini turut menampilkan Nabila Razali, Wany Hasrita, Aiman Tino, Nabil Ahmad dan Akim Ahmad.


Post a Comment

Previous Post Next Post