Man Bai mendedahkan penyanyi Mark Adam yang membuka akaun Instagram untuknya.
Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Kau Ilhamku, Man Bai tidak pernah terfikir untuk memiliki akaun media sosial seperti Facebook ataupun Instagram kerana merasakan ia tidak memberi kepentingan kepada kerjayanya.
Bagaimanapun kata pemilik nama sebenar Abdul Rahman Osman, 51, perkara itu berubah selepas dia bertemu Mark Adam di sebuah persembahan pentas di Johor sekitar dua tahun lalu dan penyanyi itu mengatakan dia ketinggalan zaman.
"Jujurnya saya memang tak reti media sosial ini semua dan tidak rasa ia membawa kebaikkan pun tambahan pula tiada apa yang ingin saya kongsikan.
"Ketika bertemu dengan Mark, dia cakap saya ketinggalan zaman kerana tiada Instagram dan dia terus ambil telefon saya dan membuka akaun Instagram untuk saya.
"Kebetulan ketika itu Jihan Muse turut ada bersama dan kami ambil gambar bertiga dan itu adalah gambar pertama saya di Instagram yang dimuat naik oleh Mark," katanya.
Ini adalah gambar pertama dimuat naik oleh Mark di Instagramnya.
Man Bai ditemui pada pelancaran program Raikan Malaysia Bersama Astro yang diadakan pada Isnin.
Dalam pada itu, Man Bai berkata, sejak mempunyai Instagram dia semakin aktif dan mula berkongsi mengenai perkembangan terkini dengan pengikutnya.
Pun begitu katanya, dia lebih gembar berkongsi perkara berkaitan kerjaya berbanding kehidupan peribadinya di laman sosial itu.
"Mula-mula rasa susah tapi lama-lama seronok pula ada Instagram kerana ada juga manfaatnya kalau digunakan dengan betul.
"Melalui platform ini boleh berkongsi perkembangan terbaharu dengan peminat namun saya lebih selesa tidak memuat naik gambar berkaitan peribadi.
"Sesekali ada juga 'selfie' sebelum tidur dan letak di Instagram sampai ada kawan tegur," katanya yang menggunakan nama @manbai67.
Man Bai bakal melancarkan single terbaharunya tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, Man Bai berkata, dia sudah menyiapkan single terbaharunya berjudul Saling Mengerti namun masih belum bersedia untuk melancarkannya.
Ini kerana katanya, dia masih belum berpuas hati dengan vokalnya untuk lagu itu dan ingin merakamkannya semula.
"Lagu itu mempunyai melodi dan lirik yang cukup mendalam tetapi saya sendiri rasa vokal saya tak cukup 'feel' untuk lagu itu.
"Jadi saya tangguh untuk lancar dan bila bersedia baru saya berbuat demikian," katanya yang kali terakhir muncul dengan album berjudul Inspirasi pada 2011.
Untuk rekod Man Bai pernah menghasilkan dua buah album lain iaitu Man Bai pada 1995 dan Positif (1999).