Ibadah korban bersama Da’i Aiman di Afrika


Inisiatif menjalani ibadah korban di negara luar seperti Kemboja sudah menjadi aktiviti kemanusiaan yang semakin popular sejak kebelakangan ini.

Ia sebagai tanda sokongan masyarakat Malaysia untuk sama-sama memberikan bantuan kepada saudara Islam yang memerlukan di sana.

Kini, satu program berkonsepkan sama diberi nama Program Ibadah Qurban Chad dikendalikan oleh pertubuhan bergelar ibadahqurban.org dibuka kepada orang ramai.

Ia diketuai oleh juara rancangan realiti Da’i 2017 iaitu Ustaz Aiman Sufyan Aezman.

Aiman yang dikenali sebagai Da’i Aiman itu berkata, program memfokuskan bantuan kemanusiaan di Chad, Afrika berkenaan mula dijalankan sejak tahun 2016.

Kini, ia semakin mendapat perhatian penduduk tempatan yang berhasrat untuk turut menjalankan ibadah korban di luar negara.

Menurut Aiman, negara Chad yang terletak di benua Afrika menjadi pilihan persatuannya kerana ia merupakan negara keempat termiskin di dunia dan semua penduduknya beragama Islam.

“Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa selain Kemboja, ada lagi negara lain yang memerlukan sumbangan daging korban. Jadi, saya menggunakan platform status selaku Da’i bagi menguar-uarkan tentang program ini.

“Pihak ibadahqurban.org juga merupakan wakil pertama yang pernah tiba di Chad bagi program sebegini. Majlis Tertinggi Agama Islam Chad sangat berbesar hati dengan kehadiran kami membantu penduduknya yang sebelum ini tidak pernah menikmati daging kerana tidak mampu,” katanya pada sidang akhbar program berkenaan di Restoran Nasi Darmout, Hotel Concorde baru-baru ini.





Murah

Tambah Aiman lagi, antara kelebihan menyertai ibadah korban di Chad adalah harga lembu dan kambing di sana yang jauh lebih murah, sekali gus menjadikan kos pembayaran daging korban bagi secara individu tidak terlalu mahal.

Faktor tersebut membuka peluang kepada golongan berkemampuan sederhana, namun menyimpan niat untuk menjalani ibadah korban dengan kadar harga yang mampu, berbanding kos di Malaysia yang agak tinggi.

“Jika satu bahagian lembu di Malaysia mencecah harga RM700, di Chad hanya memperuntukkan RM300. Jadi, kita dapat melihat perbezaan yang ketara dari segi harga antara dua negara ini.

“Saya berharap program ini dapat mengajak lebih ramai umat Islam menunaikan tanggungjawab melakukan ibadah korban memandangkan sudah ada alternatif yang lebih murah,” jelasnya.

Bagi tahun ini, ibadahqurban.org menyasarkan sebanyak 500 ekor lembu untuk dikorbankan di 35 wilayah berbeza di Chad, seterusnya dibahagikan kepada kira-kira 3,000 keluarga yang layak.

Jelas Aiman, kebiasaannya permintaan untuk menyertai program sebegitu akan meningkat dua minggu sebelum Hari Raya Haji dan pihaknya yakin sasaran 500 ekor lembu dapat dicapai.

“Tahun ini, saya bersama lima lagi wakil ibadahqurban.org terbang ke Chad dari 20 Jun lalu hingga 26 Ogos ini untuk menjalankan ibadah korban bagi mereka yang telah membuat bayaran penuh.

“Saya berharap orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk beramal ibadat dan dalam masa membantu saudara sesama Islam di sana, insya Allah,” katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post