Dayana Roza semakin matang


Biarpun bahang mentari menggigit diri penulis dan beberapa teman media lain pada tengah hari Selasa lalu, namun pertemuan dengan pelakon Dayana Roza seakan menyejukkan kehangatan itu.

Menunggu Dayana, untuk menyelesaikan saki-baki penggambarannya yang diadakan pada hari itu di Taman Tasik Ampang Hilir sebelum menemuramahnya tidak terasa terlalu lama meskipun terpaksa mengambil masa hampir dua jam.

Lebih-lebih lagi apabila melihat wanita berusia 27 tahun itu sedaya upaya menunjukkan kesediaannya untuk diwawancara meskipun terikat dengan penggambaran.

Terdetik di hati penulis saat itu, banyak masa perlu dikorbankan anak kelahiran Kuala Lumpur ini bagi menyempurnakan dua komitmen pada masa sama. Ternyata ramalan itu benar.

“Masa. Saya rasa kalau tanya semua artis mengenai pengorbanan sebagai seorang anak seni, mereka akan bagi jawapan masa.

“Masa untuk menunggu di set penggambaran, masa untuk keluarga dan juga kawan-kawan. Kadang-kadang, terpaksa juga berkorban janji apabila ada hal tidak dapat dielakkan di tempat penggambaran.

“Macam hari ini (Selasa lalu), saya cakap hanya ada satu babak lagi sebelum ditemu bual tetapi tiba-tiba ada masalah matahari dan menyebabkan ia memakan masa,” ujarnya saat ditanya soalan mengenai pengorbanan yang pernah dilaluinya sebagai seorang yang bergelar anak seni yang hampir melangkaui satu dasawarsa.



Matang

Berkelana menyoroti kerjaya pemilik nama Nur Dayana Kamsun Bahari ini, namanya kini dilihat sedikit redup berbanding dua tahun lalu. Bukan apa, suatu ketika dahulu, dia acapkali menjadi sebutan ekoran kisah kontroversi yang bertandang dalam hidupnya.

Namun, kini, kontroversi itu juga seolah-olah kapas yang terbang ditiup angin.

“Saya masih lagi berlakon cumanya tiada cerita panas seperti dahulu. Itu sebabnya orang nampak saya seperti perlahankan rentak. Saya tidak suka kontroversi. Apabila ada gosip, seminggu saya tak keluar rumah.

“Sebelum ini, saya nakal, namun kini zaman itu sudah berlalu pergi. Saya juga jarang berkongsi hal peribadi di Instagram melainkan urusan kerja,” jelasnya yang dilihat semakin matang.

Tambah Dayana yang memulakan kerjayanya setelah menyertai rancangan televisyen realiti, Anak Wayang pada 2009 itu, dirinya juga kini sedang memberikan komitmen kepada urusan lain.

“Jika sebelum ini, saya menerima sahaja sebarang tawaran, namun kini sedikit memilih untuk menguruskan urusan bisnes.

“Apabila terikat dengan penggambaran, susah untuk melakukan kerja lain lebih-lebih lagi memegang watak utama. Sekarang, saya memang ada sesuatu yang saya mahu fokus,” ujarnya yang juga mengatakan bisnes adalah salah satu cabang kerjaya untuk dirinya apabila sudah berkahwin kelak.

Kunci mulut

Ibarat sebuah klu yang diberikan, Dayana pantas ditembak dengan peluru cinta.

Namun, dia yang mula dikenali menerusi drama Asam Pedas Untuk Dia hanya mampu mengunci mulut daripada memberikan jawapan.

“Kalau ada jodoh dan sampai masanya, saya akan memberitahu,” ujarnya dengan penuh santun apabila ditanya adakah ia petanda dirinya sudah bersedia menamatkan zaman solonya.

Akur dengan jawapan yang diberikan, Dayana menjelaskan kebanyakan wanita yang sudah berkahwin sememangnya akan memberikan lebih komitmen kepada keluarga mereka.

“Saya sudah rasa banyak masa saya dihabiskan di set, jadi sekiranya suatu hari nanti sudah mendirikan rumah tangga, masa akan difokuskan kepada keluarga pula.

“Masih lagi mahu berlakon, cuma tidaklah seperti dahulu yang mana harus memberikan komitmen setiap hari, andai saya jalankan bisnes, masa untuk keluarga lebih banyak. Saya rasa semua orang macam itu, apabila sudah berkahwin, mesti akan cuba perlahankan sedikit rentak,” jelasnya yang juga terlibat dengan bidang pengacaraan iaitu menjadi hos untuk program bola di HyppTV, selain drama Cinta Bukan Kristal di TV3 dan terbaharu Mata Ketiga.



Mata Ketiga

Bercakap mengenai Mata Ketiga, anak tunggal itu memberitahu, itu kali pertama dia berlakon dalam sebuah naskhah seram.

“Dalam drama ini, saya memegang watak sebagai Rafidah. Boleh dikatakan dia seorang yang berani.

“Saya mempunyai seorang sahabat iaitu Faizul(lakonan Hafeez Mikail) yang boleh melihat hantu atau pun hijab matanya dibuka. Saya dan beberapa kawan yang lain telah membawa Faizul pulang ke kampung untuk berjumpa bomoh. Seterusnya terjadilah babak-babak menarik yang perlu ditonton semua,” ceritanya serba sedikit.

Menurutnya lagi, cerita hantu bukanlah semudah disangka seperti karya lain kerana ia menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang.

“Bukan mudah sebenarnya terlibat dalam cerita hantu, ada cabarannya yang tersendiri khususnya masa.

“Waktu petang baru kami akan pergi kerja (penggambaran) dan ia akan berlarutan hingga tengah malam atau pagi, orang lain sudah selesai bekerja,” jelasnya.

Mata Ketiga yang dibintangi beberapa barisan pelakon lain seperti Fimie Don dan Isyariana Che Azmi itu akan disiarkan di Tonton bermula 31 Oktober depan.

Ditanya mengenai sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut umat Islam pada Rabu lalu pula, Dayana memberitahu, dia tidak dapat meraikan kerana telah ke Pulau Langkawi atas urusan peribadi.

Post a Comment

Previous Post Next Post