Cromok tampil 
konsep Trashditional


Bakal menggegarkan pentas Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru pada 8 September depan, kumpulan rock metal Inggeris Malaysia, Cromok menjanjikan kelainan pada Konsert Legend II Live In JB dengan menampilkan konsep Trashditional.

Kata gitarisnya, Karl, Trashditional merupakan gabungan muzik thrash serta tradisional yang disusun khas buat peminat menghadiri konsert itu nanti.

“Konsep itu lahir daripada perkongsian idea kami khusus untuk peminat di Johor Bahru. Peminat tahu, Cromok selalu tampil dengan kelainan membabitkan muzik moden dan tradisional.

“Dahulu kami pernah hasilkan lagu disuntik elemen cak lempong. Malah, lagu Metallurgical turut menggunakan muzik intro lagu Ulek Mayang yang sehingga kini menjadi kegilaan,” ujarnya.

Memilih alunan ghazal mengiringi konsert mereka, ujar Karl lagi, mereka sengaja memilih muzik tradisional itu kerana Johor sememangnya terkenal dengan muzik sebegitu.

“Kami akan bergabung dengan Kumpulan Ghazal Sri Aras Johor bagi menghiburkan peminat di sana. Walaupun tidak terbabit sepenuhnya, namun ada lagu-lagu yang akan membabitkan mereka.

“Ia memang sesuatu yang unik dan peminat kena hadir sendiri untuk menikmati kelainan yang akan dibawakan Cromok pada konsert itu,” katanya.



Ditanya mengenai impak muzik metal yang mungkin akan sedikit berkurangan apabila menampilkan konsep Trashditional, Karl berkata, peminat mereka memang sudah lazim dengan muzik Cromok yang amat dekat dengan konsep tradisional.

“Sejak dahulu, elemen tradisional seperti lagu joget, malah lagu-lagu Ahmadi Hassan merupakan inspirasi Cromok.

“Semoga apa yang dipaparkan pada konsert nanti memberikan lebih warna terhadap muzik kami,” tutur Karl.

Album
Berkenaan kemungkinan Cromok akan muncul dengan album terbaharu apabila memperkenalkan konsep Trashditional pada konsert nanti, Cromok tidak menolak jangkaan tersebut.

Bagaimanapun, Karl berkata, dia ingin memperkenalkan sistem crowd funding platform atau pengumpulan dana kerana tidak mahu berdepan dengan risiko mengalami kerugian disebabkan album tidak terjual.

“Buat apa bikin album kalau orang tidak beli. Lebih baik saya perkenalkan crowd funding platform yang mana sesiapa yang ingin beli album, dahulukan duit mereka secara digital.

“Di Amerika Syarikat, trend ini sudah digunakan dan memberi impak yang baik kepada pemuzik. Mungkin sudah tiba masanya di Malaysia juga mempraktikkan hal sama,” katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post