Anak Diana Danielle tidak minat bidang seni


Setiap ibu mempunyai percaturan yang terbaik dalam cara mendidik dan membesarkan anak-anak mereka. Hal sama turut dilakukan oleh pelakon jelita, Datin Diana Danielle.

Sebagai isteri kepada pelakon Datuk Farid Kamil serta ibu kepada Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 2, pelakon filem Magika itu mengakui berdepan cabaran apabila membesarkan anak lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang semakin pesat dengan penggunaan media sosial.

Bertemu dengan Diana ketika Majlis Pelancaran Filem Gol & Gincu Vol. 2 di Empire City, Damansara baru-baru ini, wanita itu berkongsi serba sedikit penglibatannya membawakan watak Zak atau Zakiah dalam filem yang bakal menemui penonton pada 25 Oktober depan.

Mendedahkan filem reboot yang dilakonkan bersama Umi Nazeera, Syafiq Kyle dan Aedy Ashraf itu mengenai isu kehidupan berkaitan ketagihan penggunaan media sosial, wanita berusia 27 tahun itu turut berkongsi tentang cara dia mengawal penggunaan aplikasi berkenaan dalam kehidupan harian.

Kosmo!: Boleh Diana kongsi sedikit tarikan dalam filem Gol & Gincu Vol. 2?

Diana: Seperti yang kita tahu, filem Gol & Gincu sudah berjaya menambat hati ramai penonton ketika ditayangkan 13 tahun lalu. Watak-watak yang dimainkan dalam filem ini juga telah menjadi lambang kepada generasi sebelum ini. Dengan penerbitan Gol & Gincu Vol. 2, ia seperti satu pendedahan tentang kehidupan generasi baharu terutamanya isu-isu dihadapi mereka yang melibatkan media sosial.

Filem ini mengajar remaja zaman sekarang tentang keburukan jangka panjang penggunaan media sosial kepada diri, kerjaya dan keluarga. Apa yang saya suka tentang filem ini, tema yang diketengahkan sangat relevan dan membantu penonton untuk semakin berhati-hati dengan penggunaan media sosial. Bagaimanapun, naskhah ini masih mengekalkan tentang sukan futsal, fesyen dan persahabatan seperti filem sebelum ini.



Bagaimanakah jika penonton membandingkan lakonan anda dengan Fazura dalam filem terdahulu?

Saya tidak boleh jangka tentang persepsi penonton tetapi watak sebagai Zak atau Zakiah sangat berbeza daripada naskhah dahulu. Latar belakang filem ini juga berlainan. Sejujurnya, saya menerima tawaran ini, kerana ia naskhah Gol & Gincu. Saya banyak belajar perkara baharu dalam filem ini misalnya dalam dunia realiti saya suka bermain bola keranjang bukannya futsal, tetapi harus belajar bermain futsal.

Anda juga dilihat berambut pendek untuk menjayakan watak Zak, adakah ia dibuat dengan rela hati?

Ia hanya rambut dan saya tidak terkilan. Saya berambut panjang sejak mula masuk dalam industri dahulu, kalau hendak potong sendiri memang tidak berani. Jadi apabila diminta untuk menjayakan watak, ia menjadi alasan kukuh untuk saya potong rambut. Bagaimanapun, sebelum potong saya sudah memberitahu anak-anak terlebih dahulu, terutamanya Muhammad kerana dia tidak suka melihat stail ibunya berbeza walaupun sedikit.

Gol & Gincu Vol. 2 mengajar penonton tentang impak daripada penggunaan media sosial, mungkin dari sudut peribadi, bagaimana anda mengawal penggunaan media sosial dalam kehidupan sendiri dan anak-anak?

Saya lihat masyarakat sekarang terlalu bergantung kepada penggunaan media sosial. Sebagai contoh, jika tidak mendapat banyak tanda suka pada gambar yang dimuat naik, mereka akan rasa diri tidak cantik. Hal ini boleh dianggap sebagai penyakit obses kepada internet. Sejujurnya, apabila berkongsi perkembangan terkini tentang anak, saya tidak kisah tentang jumlah pengikutnya akan naik mencanak atau tidak.

Saya juga berkongsi pada perkara yang dirasakan perlu sahaja kerana bukan hendak bersaing dengan ibu selebriti lain yang mahukan anak mereka mungkin diberi pendedahan dalam dunia hiburan. Saya selalu katakan kepada mereka, Instagram misalnya adalah salah satu kerja, jadi mereka faham media sosial bukan satu cara hidup tetapi tuntutan kerja.



Bagaimana pula dengan penggunaan gajet canggih kepada anak-anak anda?

Saya tidak boleh halang penggunaan gajet kepada anak-anak kerana mereka perlu membesar dalam keadaan generasi sekarang. Bila tidak diberi langsung nanti dia akan ketinggalan, jadi saya akan beri cuma perlu ada hadnya. Mungkin saya akan mengenakan hukuman jika anak-anak saya membuat perkara tidak elok di media sosial. Dahulu cabaran ibu saya lain, sekarang cabaran saya sebagai ibu pula lain. Saya tidak mahu menghalang perkembangan mereka kerana ibu saya dahulu juga banyak memberi kebebasan kepada saya agar belajar daripada pengalaman.

Sebagai ibu bapa, adakah anda akan membenarkan anak-anak untuk masuk dalam bidang lakonan sama seperti anda dan suami, Farid Kamil?

Sebenarnya, kedua-dua anak saya tidak minat dalam bidang lakonan kerana saya dan suami pernah cuba membawa mereka sebelum ini. Melihat Muhammad tidak suka dan Aurora pula rimas apabila beraksi di hadapan kamera, ia melegakan saya. Bagaimanapun, kadangkala terdapat juga satu atau dua iklan yang saya benarkan untuk mereka terlibat tetapi keesokan harinya, kami perlu memujuk mereka dengan membelikan permainan baharu.

Untuk berlakon dalam drama atau filem saya rasa tidak dalam masa terdekat. Muhammad pernah tidak suka ambil gambar kerana ke mana sahaja dia pergi orang akan bergambar dengannya. Dia juga pernah meminta agar saya tidak bekerja sebab tidak mahu diambil gambar.

Post a Comment

Previous Post Next Post