Syamsul Yusof dera Maya Karin dalam Munafik 2


Aktres Maya Karin sanggup menunggu dan tidak muncul dengan sebarang naskhah selama lebih tiga tahun demi menanti karya yang sesuai.

Lamaran yang diberikan Skop Production Sdn. Bhd. menerusi Datuk Yusof Haslam untuk membintangi filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof disambut baik selepas meneliti sinopsisnya sahaja.

Menurut Maya yang ditemui pada sesi fotografi di Studio baru-baru ini, kesediaannya menerima tawaran berkenaan terletak kepada kepercayaannya terhadap reputasi rumah produksi itu dan juga kualiti filem arahan Syamsul.

“Bukanlah saya terus bersetuju kerana dapat tawaran hanya menerusi sinopsis tanpa skrip. Namun, Datuk Yusof berjaya meyakinkan saya untuk menerima naskhah ini selepas beliau menerangkan dengan teliti jalan cerita filem Munafik 2.

“Pada peringkat awal, watak Sakinah lakonan saya tidak berat sangat tetapi berisi. Disebabkan sudah lama tidak berlakon, saya fikir ini sebuah projek yang baik.

“Lagi pula syarikat produksi dan pengarahnya mempunyai reputasi yang baik, jadi saya bersetuju,” kata Maya membuka bicara.

Bagaimanapun, sangkaannya untuk menerima watak ringan meleset apabila Syamsul merombak keseluruhan skrip filem Munafik 2 selepas mendapat persetujuan Maya.

“Pada mulanya saya dijanjikan hanya menjalani penggambaran selama 20 hari. Selepas dirombak, ditambah skrip dan babak aksi untuk watak Sakinah, daripada 20 hari ia menjadi 40 hari. Keseluruhan penggambaran memakan masa selama 65 hari,” ujar Maya.

Biarpun begitu, Maya tidak menyesal membintangi filem seram berkenaan kerana menyifatkan ia sebuah karya yang sangat berkualiti.

“Saya tidak menyesal berlakon dalam filem ini walaupun setiap hari ada sahaja tambahan skrip dan babak. Hal ini kerana kepuasan saya sebagai pelakon dalam filem Munafik 2 sangat tinggi.

“Seronok apabila bekerja dengan sebuah karya yang saya lihat boleh jadi sangat baik. Saya juga teruja dan berharap orang akan kata filem ini bagus kerana Maya Karin,” tuturnya sambil ketawa.

Disoal tentang perbezaan filem tersebut dengan karya seram lain yang pernah dibintanginya seperti Pontianak Harum Sundal Malam dan Waris Jari Hantu, ulas Maya, kesemuanya mempunyai elemen sama cuma sentuhan diberinya berbeza.

“Dalam filem Munafik 2 saya bukanlah hantu tetapi seorang ibu tunggal yang diganggu oleh ketua ajaran sesat bernama Abuja.

“Perbezaan setiap filem tidak begitu ketara kerana filem seram dan hantu mempunyai acuan lebih kurang sama. Cuma diharapkan persembahan saya akan membuatkan orang terkencing dalam panggung wayang,” kata Maya yang menyifatkan Syamsul sebagai pengarah filem paling tegas sepanjang kariernya.



Eksklusif

Berbicara lanjut mengenai tempoh membeku diri daripada sebarang karya filem, ulas Maya dia terpaksa ‘berehat’ panjang bukan kerana tiada tawaran, sebaliknya ketiadaan tawaran yang berjaya menarik hatinya.

Kongsi Maya, sikap cerewet ketika memilih karya itu perlu ada dalam dirinya supaya naskhah yang dihasilkan bukan sahaja memberi kepuasan kepada dirinya, tetapi paling penting adalah penonton.

“Setiap kali tawaran datang saya akan mencari karya yang memberikan kepuasan kepada penonton pada tahap maksimum. Sebab sebagai pelakon saya bukan buat filem untuk tonton sendiri di rumah tetapi untuk penonton.

“Paling seronok dan bangga apabila sehingga hari ini orang masih memberi reaksi dan tersentuh dengan filem lakonan saya. Tiada guna kalau berlakon 100 filem tetapi satu pun orang tidak ingat,” ujarnya yang sudah berpuas hati andai terbabit dengan hanya dua filem setahun.

Meski sudah berusia 39 tahun, Maya berjaya mengekalkan reputasinya sebagai pelakon filem popular. Selain memilih karya berkualiti, kata pelakon filem Pisau Cukur itu dia sangat menjaga eksklusiviti dirinya.

Justeru itu, Maya sangat jarang membuat kemunculan di televisyen. Malah, sepanjang 18 tahun usia karier seninya, belum pernah dia terlibat dalam drama.

“Peminat tidak boleh tonton saya di televisyen, keluar filem pun jarang-jarang. Eksklusiviti itu sangat membantu memanjangkan jangka hayat karier seni.

“Selain itu, profesionalisme sebagai pelakon juga sangat penting. Jika sering datang lima jam lewat ke set penggambaran dan tidak buat kajian tentang watak, produksi juga akan fikir dua kali untuk beri tawaran seterusnya kepada pelakon bermasalah,” tutur Maya.

Rahsia teratas bagi mengekalkan populariti dan juga reputasi sebagai pelakon adalah menjaga kesejahteraan peminat.

“Maknanya jangan berlagak dan perlu meletakkan diri kita di tempat peminat. Saya bernasib baik kerana tidak suka sangat dengan glamor.

“Jadi saya tidak rasa terbeban untuk kelihatan cantik sepanjang masa. Jika begitu setiap hari saya boleh gila. Saya hanya akan bercantik-cantik untuk kerja sahaja dan andai tidak bekerja, saya selesa hanya berseluar jean dan baju-T tanpa sebarang solekan,” kongsi Maya yang akan muncul dengan single baharu berjudul Get Away duet bersama Kaka Azraff.



Trilogi Munafik

Pengarah yang juga pemeran watak Ustaz Adam, Syamsul Yusof, 34, terpaksa mengambil masa selama dua tahun untuk mengeluarkan filem Munafik 2 selepas Munafik kerana mementingkan kualiti.

“Jarak kedua-dua filem ini agak jauh kerana saya perlukan masa yang lama untuk mendapatkan idea.

“Dalam masa sama, saya juga berlakon dalam filem Makrifat Cinta dan Abang Long Fadil 2, ditambah dengan kerjaya nyanyian lagi, jadi tempoh untuk membikin filem Munafik 2 menjadi panjang,” kata Syamsul mengenai filem ke-10 arahannya itu.

Kongsinya, ketika filem Munafik keluar dua tahun lalu, tiada siapa yang menjangkakan karya berkenaan akan pecah panggung kerana ia sebuah filem seram biasa.

Namun, filem Munafik membikin kejutan apabila meraih kutipan sebanyak RM17.04 juta. Kejayaan itu meningkatkan lagi jangkaan penonton, sekali gus memberi tekanan kepadanya.

“Sebenarnya bukan penonton sahaja yang meletak jangkaan tinggi untuk filem Munafik 2, tetapi saya sendiri.

“Sebagai pengarah, jika filem pertama saya buat dengan penuh teliti, filem kedua bertambah lagi teliti. Ketelitian itu kadangkala membebankan diri saya untuk menghasilkan yang terbaik.

“Mungkin saya boleh buat karya seperti melepaskan batuk di tangga dan penonton tidak tahu, tetapi saya tidak boleh menipu diri sendiri. Dalam ingin puaskan hati penonton saya, juga harus puaskan hati sendiri juga,” ujar Syamsul yang menghasilkan sendiri skrip filem Munafik 2.

Lumrah sebagai pengkarya seni, sebaik mana pun hasil yang diberi, ia tetap akan mendapat kritikan.

Oleh itu sebelum mempersembahkan kepada penonton, Syamsul terlebih dahulu akan mengkritik karya sendiri.

“Mungkin kerana itu karya saya dekat dengan penonton. Sebelum orang lain kritik, saya akan kritik filem sendiri terlebih dahulu dan memperbaiki. Alhamdulillah selama ini gerak hati saya dalam membikin filem dekat dengan hati dan jiwa penonton Malaysia,” tutur Syamsul.

Beralih bicara tentang Maya, kata Syamsul, sudah lama dia mengidamkan untuk bekerja dengan wanita itu. Malah, dia telah membayangkan Maya untuk melakonkan watak Sakinah ketika menulis skrip lagi.

Sepanjang kerjayanya, Syamsul tidak pernah mendera watak sebegitu teruk yang dibuat kepada Sakinah lakonan Maya.

“Watak Sakinah paling teruk kena dera dengan saya sebagai pengarah. Hidupnya begitu sadis. Bagi saya Maya seorang pelakon yang hebat kerana sangat profesional.

“Sebagai pelakon dia memberi apa yang pengarah inginkan walaupun terpaksa jatuh berulang kali dan watak itu merupakan karakter paling berat pernah Maya lakonkan,” kata Syamsul tentang filem yang diklasifikasikan sebagai PG13 itu.

Belum pun ditayangkan di pawagam, Syamsul telah merancang untuk mengeluarkan filem Munafik yang ketiga andai Munafik 2 mendapat sambutan.

“Saya memang rancang mahu bikin trilogi dan sudah mempunyai idea untuk filem Munafik 3. Bagaimanapun, syarikat produksi mempunyai sasaran, jika ada modal saya akan buat trilogi,” ujar Syamsul.

Filem Munafik 2 yang menggabungkan elemen islamik dan seram itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 30 Ogos ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post