Cinta Priyanka Chopra kisah indah Hollywood


Sebelum nama Priyanka Chopra menjadi bualan peminat industri hiburan seluruh dunia dengan kisah cinta dan berita pertunangan bersama penyanyi muda Hollywood, Nick Jonas, 25, dia terlebih dahulu sudah memiliki tapak seni yang kukuh di Bollywood.

Seperti kebanyakan pelakon wanita popular lain, Priyanka menjadikan gelarannya selaku bekas Ratu Cantik Dunia pada tahun 2000 yang dimenangi sewaktu dia berusia 17 tahun. Kemenangan itu menjadi tiket untuk memulakan kerjaya seni di Mumbai, India.

Memandangkan dia tidak berasal daripada keluarga yang berlatar belakangkan perfileman, wanita kelahiran Bihar ini sering menyatakan kejayaannya sekarang adalah seratus peratus hasil usahanya sendiri.

Apa yang dikatakan Priyanka itu harus diakui kerana perjalanan seninya tidak bermula dengan mudah. Berdepan dengan banyak kegagalan dalam filem dan bermula daripada seorang pelakon yang kosong ilmunya, tempoh 18 tahun dalam industri banyak memberi kematangan kepada dirinya.

“Sewaktu saya muda dan berada dalam fasa 20-an, saya sering mempunyai perasaan jika kehidupan terlalu bagus, pasti sesuatu yang buruk bakal berlaku dan saya bakal kehilangan segala-galanya.

“Lucu apabila difikirkan balik kerana saya berdepan juga dengan kegagalan dan berasa murung namun mampu bangkit semula. Hidup sebagai seorang wanita yang dibesarkan oleh ibu yang sangat berprinsip mengajar saya jangan jadikan kekecewaan sebagai kawan,” katanya dalam satu temu bual bersama majalah Elle Canada, baru-baru ini.



Sayap Hollywood

Kejayaan Priyanka menyelitkan nama dalam barisan heroin gred A seperti Kareena Kapoor Khan, Deepika Padukone dan Anushka Sharma di Bollywood dengan bayaran antara yang tertinggi telah membuka ruang buat dirinya melebarkan lagi sayap ke pentas antarabangsa atau Hollywood khususnya.

Watak Alex Parrish yang dilakonkan dalam siri televisyen Amerika Syarikat, Quantico sejak tahun 2015 melonjakkan lagi nama anak sulung kepada Dr. Ashok dan Dr. Madhu Chopra ini dalam kalangan peminat warga Barat.

Dia yang kini berulang-alik antara AS dan India memberitahu antara sebab semakin selesa berada di Hollywood adalah kerana keterbukaan peminat yang lebih moden berbanding pemikiran konservatif masyarakat India.

Namun begitu, bintang Baywatch itu menafikan bahawa keadaan tersebut menandakan dia sudah bersedia meninggalkan Bollywood kerana India masih lagi rumah pertamanya dan peminat di sana tetap menjadi keutamaan.

“Saya bukanlah seorang yang lupa daratan dan lupa dari mana asal usul. Namun sebagai seorang pelakon, saya perlu berada di mana peluang serta tawaran menanti.

“Malah sejak dua tahun kebelakangan ini, ramai yang mula mempersoalkan adakah saya akan tinggalkan Bollywood selamanya dan jawapannya tidak. Saya tetap menerima tawaran filem di sana dan masih pulang untuk menjalani penggambaran,” jelasnya.

Tambah Priyanka, setakat ini dia tidak pernah berasa jauh dari tanah air kerana rakan-rakan serta keluarga sering melawatnya di New York jika dirinya tidak mempunyai masa untuk pulang ke Mumbai.

“Hidup saya sangat bagus sekarang. Saya gembira dengan kerjaya, orang-orang di dalam hidup saya atau kediaman yang saya diami. Semuanya sedang berjalan dengan baik sekali,” ujarnya lagi.



Bakal Puan Jonas

Biarpun memberitahu India masih di hati, namun berita pertunangan Priyanka dengan Nick Jonas pada 18 Ogos lalu mungkin dapat memberi bayangan kepada para peminat bahawa waktu yang akan dihabiskan di AS mungkin akan lebih dominan tidak lama lagi.

Hampir 20 tahun berkecimpung dalam industri seni, kemungkinan inilah kali pertama peminat dapat menyaksikan wanita berusia 36 tahun itu mendedahkan secebis daripada kisah cinta yang selama ini tersimpan rapi dalam hatinya.

Mulai intim sejak Februari tahun ini, pasangan itu membiarkan media dan peminat membuat spekulasi tentang hubungan mereka tanpa sebarang pengesahan atau pengumuman tentang ikatan cinta mereka.

Malah, Priyanka yang menyifatkan dirinya sebagai seorang wanita biasa yang mahu berkahwin dan membina keluarga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa masyarakat tidak perlu sibuk atau ambil tahu tentang kisah cintanya jika dia belum bersedia bercerita.

“Saya pernah bercinta untuk tempoh masa lama dan kecewa. Jadi soal hati bukanlah perkara yang main-main untuk saya. Perkahwinan adalah impian semua wanita, begitu juga saya, cuma saya bertuah kerana keluarga bukanlah jenis yang memaksa.

“Saya lebih suka menunggu orang yang tepat dan bahagia berbanding sibuk mencari dan akhirnya kecewa. Saya masih mengharapkan si dia memikat saya seperti orang zaman dulu, memberi perhatian kepada saya dan buat kejutan romantik secara tiba-tiba,”ceritanya penuh bersungguh menerusi temu bual dalam majalah Harpers Bazaar Arabia.

Tahap serius Priyanka terhadap cintanya dengan Nick juga dapat dibuktikan apabila dia mengumumkan menarik diri daripada menjalani filem Bollywood baharu bertajuk Bharat di samping Salman Khan demi memberi tumpuan kepada majlis pertunangannya.

“Satu-satunya cara yang terbaik untuk disatukan adalah dengan restu Tuhan dan keluarga. Saya kini dimiliki sepenuh jiwa raga olehnya,” tulis Priyanka pada beberapa keping gambar dia bersama Nick dalam laman Instagram selepas majlis pertunangan mereka yang dilangsungkan penuh adat upacara masyarakat Hindu yang dikenali sebagai Roka.

Biarpun sudah mengesahkan pertunangan, pasangan ini masih belum mengumumkan sebarang tarikh perkahwinan.

Post a Comment

Previous Post Next Post