
Pelakon berkaliber dan penerbit filem One, Two, Jaga, Bront Palarae mengakui bangga apabila Nam Ron bertutur bahasa Melayu ketika menghadiri forum membicarakan filem arahannya di New York Asian Film Festival (NYAFF) di Amerika Syarikat pada Julai lalu.
Menurut Bront, dia juga gembira apabila melihat bahasa Melayu turut diiktiraf penggunaannya di pentas antarabangsa seperti di NYAFF itu.
“Saya yang membuat permohonan kepada penganjur untuk Nam Ron menggunakan bahasa Melayu di NYAFF itu.
“Ini kerana ramai pembikin filem luar yang menggunakan khidmat penterjemah pada Festival Udine dan Shanghai. Jadi, saya anggap penggunaan penterjemah lebih berkesan dan memudahkan proses temubual Nam Ron di NYAFF.
“Ia adalah perkara biasa untuk acara festival dan forum di peringkat antarabangsa,” katanya ketika mengulas video pendek Nam Ron yang tular bertutur dalam bahasa Melayu ketika memperkenalkan diri di NYAFF.
Ramai netizen memuji tindakan Nam Ron yang selamba bertutur bahasa Melayu depan delegasi asing.
Namun, kata Bront, penggunaan bahasa Melayu di NYAFF dilihat daripada sudut praktikal.
“Ia untuk memudahkan Nam Ron menyampaikan buah fikirannya kepada wakil media dan pengkritik filem di luar negara,” katanya.
Ditanya sama ada dia sendiri malu atau sebaliknya bertutur bahasa Melayu di pentas antarabangsa, kata Bront, dia akan bertutur dalam bahasa kebangsaan mengikut kesesuaian acara.
“Apa yang penting delegasi memahami maksud yang kita sampaikan.
“Jika bahasa Inggeris lebih efektif, saya akan menggunakannya tetapi jika bahasa Melayu (melalui penterjemah) lebih efektif, saya akan memilih penggunaan bahasa Melayu,” katanya.
Mengulas perkembangan filem One, Two, Jaga pula, kata Bront, dia menaruh harapan filem itu akan mendapat sambutan daripada peminat filem apabila menjengah pawagam seluruh tanah air pada 6 September nanti.
“Bagi saya, sebaik mana pun penerimaan filem ini di peringkat antarabangsa, ia tidak setanding dengan penerimaan penonton kita sendiri.
“Pihak kami menghasilkan filem ini untuk rakyat negara kita dan pastinya kami mengharapkan sokongan daripada masyarakat,” katanya.
Menyusul selepas ini, filem One, Two, Jaga akan ditayangkan di Fukuoka International Filmfest.