Big Stage 10 penyanyi muda rebut wang tunai RM100,000


Menggunakan konsep sama seperti program Gegar Vaganza (GV), Astro sekali lagi tampil dengan sebuah rancangan hiburan baharu bertajuk Big Stage, bezanya kali ini, usia kematangan pesertanya lebih mentah berbanding GV.

Membariskan peserta yang terdiri daripada bintang muda tanah air, mereka akan bersaing bagi merebut gelaran juara, sekali gus membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai RM100,000.

Barisan penyanyi popular yang menyertai program tersebut terdiri daripada Afieq Syazwan, Baby Shima, Andi Bernadee, Fara Hezel dan Ariff Bahran.

Pada masa sama, penyanyi seperti, Sarah Suhairi, Syafiq Farhain, Sissy Imann, Tajul dan Wani Kayrie menjadi antara peserta yang turut popular dengan jolokan ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) turut menyertai program berkenaan.

Terdiri daripada 10 orang peserta yang lima daripadanya lelaki dan selebihnya wanita, kesemua mereka bakal berentap dalam Big Stage selama lapan minggu bagi musim pertama.

Bersiaran menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123), program berkenaan menggunakan khidmat pemarkahan juri profesional sepenuhnya sebelum dinilai semula menerusi undian atas talian menggunakan aplikasi Tik Tok.

Kuasa pemarkahan diberi 100 peratus kepada pihak juri berdasarkan prestasi persembahan mingguan mereka. Hasil daripada itu, tiga peserta yang mendapat undian terendah akan dinilai secara atas talian menetusi Tik Tok bagi menentukan penyingkiran.

Dua bintang tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir diberi mandat untuk menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap.





Digeruni

Mengakui tanggungjawab berada di kerusi juri antara yang mencuri tumpuan, selain digeruni peserta, kedua-dua penyanyi popular itu bagaimanapun menolak tanggapan tersebut.

Kata pelantun lagu Biarlah Rahsia itu, setiap peserta perlu berani mengambil risiko dan bersedia untuk bersaing secara profesional.

“Setiap peserta perlu serius sekiranya ingin mencipta nama sebagai penyanyi dan tidak terlalu berasa selesa menggunakan media sosial sebagai medium nyanyian secara suka-suka,” ujar Siti yang ditemui pada usai sidang akhbar Big Stage baru-baru ini.

Dalam pada itu, Faizal Tahir pula berharap peserta dapat menerima setiap kritikan dengan hati terbuka demi memperbaiki diri, seterusnya bertahan lama dalam lapangan seni tanah air.

“Saya tidak akan terlalu garang apatah lagi meninggikan suara kepada peserta. Saya lebih bersifat tegas dalam memberi tunjuk ajar memandangkan kebanyakan daripada mereka masih baharu dalam industri,” terang Faizal.

Selain Faizal dan Siti, seorang juri jemputan turut bakal mengadili peserta secara bergilir-gilir pada setiap minggu persembahan, manakala penyanyi Ernie Zakri pula diberi tugas sebagai guru vokal.

Keserasian dua pengacara, Sherry Al Hadad dan Alif Satar menjadikan mereka terpilih sebagai hos konsert mingguan Big Stage, manakala Eyza Hazali dan Harris Annuar mengendalikan program Live Plus Big Stage.

Selain hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro bakal dimenangi si juara, kedudukan tempat kedua dan ketiga pula akan menerima wang tunai RM50,000 dan RM25,000 berserta trofi.

Tempat keempat dan kelima juga tidak akan pulang tangan kosong apabila masing-masing turut akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi setiap seorang.

Like Facebook Page Big Stage

Post a Comment

Previous Post Next Post