Ben Ladin, Hikayat Benladin bukan untuk Altimet


Sewaktu lagu Hikayat Benladin nyanyian penyanyi rap muda, Ben Ladin diluncurkan sekitar dua minggu lalu, ramai antara pendengar yang menyifatkan karya ciptaan Malique dan Dedeq tersebut sebagai balasan buat Altimet yang terlebih dahulu menyindir bekas anggota kumpulan Too Phat itu menerusi lagu Mambang.

Ben Ladin tidak dijadikan alat oleh pengkarya untuk menyindir

Biarpun sebelum ini Altimet pernah menafikan bahawa lagu yang dipetik daripada album Air itu ditulis bagi tujuan menyindir, namun, beberapa pengkritik muzik secara terbuka telah mengulas mengenai beberapa rujukan terhadap Malique yang terkandung dalam lagu Mambang.

Antaranya potongan lirik Mambang: “mambang duduk gua cuma dengar suara” yang menggambarkan Malique sebagai komposer dan penyanyi yang suka mengasingkan diri dan enggan menyanyi karyanya sendiri.

Sebagai balasan terhadap ‘perang saraf’ cetusan Altimet, Malique didakwa pernah membalas sindiran tersebut menerusi lagu Gong Nekara nyanyian Lucka Sickta dan Kym Kmo. Sekali lagi, baik Lucka mahupun Kym, masing-masing menafikan dakwaan tersebut.

Ketika bertemu dengan Ben atau nama lengkapnya, Muhammad Benladin Munshi Shaihan pada majlis pelancaran Hikayat Benladin di RedBox The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi remaja berusia 17 tahun itu turut ikut menafikan lagunya ditujukan buat Altimet.

Menurut Ben, lirik pada bahagian korus lagu itu ditulis bagi menggambarkan perjalanan seninya, bukan bertujuan untuk menyindir mana-mana pihak.

KOSMO!: Ben, benarkah dakwaan khalayak yang mengatakan lagu anda, Hikayat Benladin ciptaan Malique adalah sindiran balas buat Altimet?

BEN: Tidak benar sama sekali. Benar, lirik lagu saya berbunyi: “Mereka keluar masuk gua, mencuba mencari di mana ada, mencuba meneka di mana saya, mata kasar takkan dapat jumpa.” Namun, ia merujuk kepada diri saya sendiri yang sekian lama menghilang daripada bidang nyanyian.

Boleh terangkan, apakah kaitan lirik tersebut dengan anda?

Saya mula melibatkan diri dalam dunia hiburan sekitar usia 11 tahun. Ketika itu, saya menyertai pertandingan nyanyian Idola Kecil 5. Selepas pertandingan tersebut, saya ada menyanyi tetapi rezeki lebih murah dalam bidang lakonan. Jadi, lirik pada bahagian korus lagu tersebut memang menggambarkan saya yang kini kembali memberi fokus dalam bidang nyanyian.





Bagaimanakah perasaan anda apabila single pertama dicipta oleh Malique?

Sejujurnya, saya sangat gembira kerana mendapat sebuah lagu sentuhan Malique. Saya memang mengidolakannya sejak dia masih lagi bersama Too Phat. Pada mulanya, saya agak gerun dengannya tetapi, setelah beberapa kali berjumpa dan dia banyak mengajar mengenai muzik, saya terus menjadi selesa.

Apakah yang diajar oleh Malique sepanjang anda merakamkan lagu di bawah seliaannya?

Malique menasihati supaya saya sentiasa berlatih menulis jika mahu bergelar penyanyi hip hop berjaya. Dia juga sentiasa berpesan supaya mengambil masa untuk menulis supaya perkataan yang ditulis dapat menari atas melodi.

Malique telah lama menghilang dan ramai yang menantikan kemunculannya. Pernah terfikir untuk bergambar dengannya?

Oh tidak sama sekali! Saya sendiri tidak terfikir ke arah itu. Bagaimanapun, Malique seorang yang sangat berwibawa dalam kerja selain selalu merendah diri.

Kebanyakan penyanyi masa kini suka mencipta gimik untuk melariskan lagu mereka. Pada pandangan anda, adakah gimik itu penting untuk membuatkan orang ramai sedar akan karya yang anda terbitkan?

Saya tidak boleh menjawab bagi pihak orang lain. Jika mereka rasakan gimik itu bagus untuk karya, mereka boleh teruskan. Namun, bagi saya, gimik tidak perlu. Hal ini kerana, anda hanya boleh melakukannya sekali dan untuk lagu seterusnya, gimik jenis apa pun tidak boleh diguna pakai. Lebih baik saya melakukan promosi seperti biasa.

Anda berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. Mengapakah tidak melancarkan single Hikayat Benladin selepas itu?

Saya mula belajar dari rumah (home schooling) sejak sekitar Tingkatan 1. Jadi, tidak menjadi masalah untuk saya membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran. Tambahan pula, ayah saya turut mengambil tahu tentang perkembangan pendidikan saya.

Anda pernah muncul dalam beberapa drama bersiri tempatan antaranya Kahwin Muda (2016), Amsyar (2016) dan Jangan Ikut Aku (2017). Adakah selepas penerbitan Hikayat Benladin anda akan memberi perhatian penuh pada bidang nyanyian dan menolak tawaran berlakon?

Tidak sama sekali. Saya masih berlakon dan menerima tawaran lakonan. Jika saya tidak boleh memberi komitmen terhadap tawaran lakonan yang diberikan, barangkali saya terlalu sibuk atau berlakunya percanggahan jadual.


Post a Comment

Previous Post Next Post