Abe Jali terlantar di HRPZ II


Ahmad Jazlan bertanya khabar Abe Jali semasa melawat pelawak tersebut di HRPZ II, hari ini.

Pelawak tempatan yang terkenal dengan jolokan nama Abe Jali Salam Pantai Timur kini terlantar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akibat komplikasi penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak lima tahun lalu.

Abe Jali atau nama sebenarnya Mohd Idris Berahim, 58, terkenal dengan celoteh dan lawak yang penuh bersahaja terutamanya apabila bergandingan dengan Mek Siti dalam sitkom bersiri Salam Pantai Timur di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selain aktif dalam bidang pengacaraan dan pelawak di negeri ini.

Kini, peminatnya ternanti-nanti usikan dan lawak Abe Jali apabila beliau sudah tidak aktif lagi selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kampung Nangka, Bekelam, seminggu selepas perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Isterinya, Farah Aslida Zamar berkata, suaminya terlibat dalam kemalangan langgar lari dengan sebuah motosikal dan mengalami luka di bahagian hujung jari kaki.

“Abe Jali tidak beritahu yang kakinya luka, kami (keluarga) ingatkan dia hanya demam disebabkan kemalangan tersebut. Namun, tiga hari selepas itu kaki dia mula menghitam dan sakit.

“Pada 10 Julai lalu kami bawa dia ke hospital dan doktor nasihatkan supaya jari tersebut dipotong bagi mengelak kuman merebak ke bahagian lain. Kami akur dan dia menjalani pembedahan," katanya.





Bagaimanapun ia tidak berakhir di situ apabila 13 Julai lalu, beliau sekali lagi terpaksa dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan untuk membuang kesan jangkitan kuman yang merebak sehingga ke bahagian betis.

Farah Aslida berkata, Abe Jali kini dalam pemerhatian doktor dan mungkin berdepan kehilangan kaki sehingga paras paha jika kuman tersebut tidak dapat dikawal dalam waktu terdekat ini.

Umno Kelantan yang diketuai Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob turut hadir melawat Abe Jali di Wad Chempaka HRPZ II di sini, hari ini, dan menghulurkan bantuan untuk membeli kaki palsu.

“Kita mahu Abe Jali terus kuat semangat untuk kembali seperti dulu. Kita doakan beliau sembuh sepenuhnya dan semua peminat merindui untuk mendengar celoteh Abe Jali seperti sebelum ini,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post