Aeril Zafrel dan Wawa Zainal semakin bahagia melayari rumah tangga sejak berkahwin pada 2012.
Pelakon Wawa Zainal hanya merasai nikmat berumah tangga yang harmoni dengan aktor Aeril Zafrel sejak setahun lalu walaupun perkahwinan mereka sudah memasuki usia tujuh tahun.
Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 27, turut mengakui sebelum ini dia sering mencari pasal dengan Aeril disebabkan sikapnya yang tidak matang namun sejajar dengan peningkatan usia dia mula belajar menghargai hubungan dengan suami.
"Selama hampir tujuh tahun berkahwin, jujurnya baru setahun ini yang betul-betul tiada bergaduh dan harmoni sahaja selalu.
"Kalau dulu ada juga bergaduh sebab saya asyik cari pasal je. Mujur Aeril banyak bersabar dengan perangai 'harimau' saya tetapi pada masa sama saya belajar untuk menghargai dan tidak lagi menjadi harimau jadian," tulisnya.
Wawa berkongsi tip kebahagian rumah tangganya di InstaStory.
Wawa berkata demikian sebagai menjawab soalan rawak daripada peminat yang bertanya mengenai tip kebahagian rumah tangga menerusi fungsi pertanyaan di InstaStory.
Aeril atau Suhairil Sunari, 30, dan Wawa mendirikan rumah tangga pada tahun 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata Ahmad Fakhruddin Attar, 5, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 3 tahun.
Perkahwinan itu agak kontroversi kerana mereka menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan umum.
Dalam pada itu, Wawa mengakui sejak mula menjaga keharmonian rumah tangganya, rezeki mereka suami-isteri semakin murah dan dipermudahkan pelbagai urusan.
"Rezeki murah gila bila rumah tangga harmoni... Terus terang saya menyesal dulu selalu cari pasal dengan dia.
Wawa menyifatkan suaminya sebagai seorang yang menjaga agama dan perkataan apabila berbicara.
"Jika dari dulu harmoni mungkin saya sudah kaya raya sekarang," selorohnya.
Bercakap mengenai Aeril, Wawa memberitahu dia seorang wanita yang beruntung kerana mendapat seorang suami yang bukan sahaja baik tetapi menjaga agamanya.
Kata Wawa lagi, dia seorang wanita yang bertuah dan sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.
"Masya-Allah saya betul-betul bertuah dan bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang.
"Ya, saya gembira dengan kehidupan saya... Dapat seorang suami yang baik agamanya, baik perkataannya," katanya.