Wany Hasrita tak berdendam


Penyanyi Wany Hasrita memberitahu dia tidak berdendam dengan rakan seangkatannya, Haqiem Rusli dan menganggap tiada manusia yang terlepas daripada membuat kesilapan.

Biarpun berasa kesal pada awalnya kerana telah membuatkan dirinya terlibat secara tidak langsung, Wany berkata, sebagai rakan seperjuangan dan kakak, dia memarahi remaja berusia 20 tahun itu kerana sayang.

"Haqiem 20 tahun, saya 26 tahun, saya anggap dia macam adik saya, adik buat salah kakak marah, kakak marah sebab sayang.

"Sebelum ini saya ada tegur, saya kata kenapa dia buat macam tu, tapi yalah, benda dah jadikan.

"Cuma ketika saya meluahkan mengenai penglibatan saya dalam program Hot FM itu, saya cuma rasa tak best sebab telah membuatkan diri saya terlibat sama," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada pelancaran Toyota Gazoo Racing musim kedua, semalam.

Tambah Wany, sebagai seorang penyanyi berbakat besar, Haqiem tidak perlu menggunakan publisiti seperti ini dan dia juga tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama pada masa depan.

Semalam, Wany memberitahu dia sudah memohon maaf di atas keterlanjuran mengeluarkan kenyataan yang mengundang salah faham di akaun Twitter peribadinya.

Ujar pelantun yang terkenal dengan lagu Menahan Rindu ini, dia sudah menjelaskan segala terperinci maksud yang cuba disampaikan kepada stesen radio, Hot FM dan juga pihak pengurusan, FMC.





"Saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab atas apa yang saya tulis di Twitter.

"Saya sedar sebagai seorang penyanyi profesional saya tidak patut menulis tweet sebegitu. Namun saya akui ia adalah kelemahan saya yang tidak sabar dalam menangani isu ini.

"Bagaimanapun perkara ini sudah jelas dan pihak pengurusan serta stesen radio sudah jelas mengenai perkara ini," jelasnya.

Terdahulu Haqiem tampil di stesen radio Hot FM pada Selasa untuk berkongsi tentang perkembangan terbaru dirinya.

Pada sesi tersebut, Ernie Zakri, Wany Hasrita dan Ara Johari turut dijemput untuk memberikan sokongan kepadanya.

Bagaimanapun ia menimbulkan rasa kurang senang mereka yang terbabit kerana mendakwa tidak mengetahui tentang perkara tersebut dan rasa dipergunakan.

Malah Ernie menerusi akaun Instagram turut meluahkan rasa kesal dan merasakan kehadirannya dipergunakan untuk program berkenaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post