Setelah tiga tahun berteka-teki mengenai hubungannya dengan bintang terkenal, Erra Fazira, 44, penyanyi, Shahir Zawawi, mendedahkan dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami dan menjadi bapa kepada Engku Aleesya.
Menurut juara program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), dia sememangnya ada merancang untuk berkahwin, bagaimanapun belum menetapkan sebarang tarikh.
"Perancangan ke arah itu (perkahwinan), Insya-Allah. Cuma belum ada tarikh ditetapkan. Sampai masa nanti saya akan umumkan juga.
"Alhamdulillah keluarga juga mendoakan yang baik-baik agar segala dirancang berjalan lancar.
"Saya juga tidak ada masalah untuk menjadi bapa, itu rezeki saya. Hubungan kami (Shahir dan Aleesya) juga baik," akuinya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Durian Raya 3.0 di Teh Tarik Place, Setapak Central Mall.
Tambah pemilik nama sebenar Ahmad Shahir Zawawi, 30, dia tidak merancang untuk bertunang dan mahu terus bernikah.
“Pokok pangkalnya rezeki. Kalau boleh, nak terus nikah saja dan tidak mahu bertunang,” katanya.