
“Kami tidak memikirkan apa pandangan massa atau adakah Padi Reborn akan mendapat perhatian peminat saat kembali bergabung selepas tujuh tahun vakum.
“Sebaliknya, kami bersetuju membuang ego dan beriringan jalan semula bersama kerana kecintaan terhadap muzik selain menghargai aprisiasi yang besar daripada Sobat Padi sejak dahulu,” ujar vokalis Padi Reborn, Fadly dalam temu bual bersama Kosmo! sebulan sebelum mereka melakukan konsert perdana di Malaysia pada 30 Jun lalu.
Pada waktu itu, temu bual kami terarah tentang bagaimana Padi Reborn mengatasi sikap ego untuk saling kembali sepanggung selepas kali terakhir aktif sekitar tahun 2011. Malah, mereka juga kali terakhir muncul dengan album studio pada tahun 2007, Tak Hanya Diam. Dan seperti satu ironi, Padi kemudian ‘vakum’.
Dua single terakhir yang mereka hasilkan adalah Terbakar Cemburu dan Tempat Terakhir, yang juga seperti memberi signal seperti Padi akan bubar pada waktu itu.
“Ternyata, waktu yang bergulir banyak memberi kami manfaat untuk berfikir mengapa mahu menolak untuk kembali bersama. Jadi ya, kami setuju untuk kembali dengan menjenamakan Padi sebagai Padi Reborn,” tambah Piyu pula.
Malam yang dijanjikan dan ditunggu penuh antusias oleh pencinta tegar mereka, di tengah panggung KL Live Center, Kuala Lumpur, Padi Reborn sedang ‘membelah samudera’ kerinduan Sobat Padi (gelaran buat peminat mereka) dengan begitu ghairah.
Dibawakan oleh Qew Communications Sdn. Bhd. yang pertama kali melakukan konsert dalam skala besar, kugiran itu telah meninggalkan kesan yang manis buat para peminatnya.
Benar, Padi Reborn bukan sebuah kugiran yang begitu tenar di Malaysia seperti Dewa 19 atau Sheila On 7.
Kelompok peminat mereka juga tidak besar atau melimpah ruah. Sama ada muzik mereka tidak komersial atau hanya segelintir yang menghargai karya yang dihasilkan Padi Reborn, mereka telah menang dalam hati Sobat Padi.
Dalam kelompok yang tidak melimpah ruah itu bagaimanapun dapat dilihat bagaimana Sobat Padi tetap ada dan setia. Mereka tidak pernah gagal menghargai kewujudan kumpulan itu dalam belantika muzik.
Mereka cukup ampuh. Setiap lagu yang dimainkan, dapat didengar ia disambut baik oleh kelompok peminat mereka juga memang benar-benar Sobat Padi kerana terdiri daripada ‘muka-muka sama sahaja’.
Seperti sudah menghafal khatam untaian milik kugiran yang sudah berada dalam industri muzik sejak tahun 1997 itu juga, tidak ada satu lagu pun yang gagal didendangkan bersama.
Padi Reborn kini, pada usia masing-masing melebihi 40 tahun, dengan tujuh tahun tidak sepanggung kerana ‘berehat’ masih memberi sebuah persembahan yang begitu indah.
“Faktor usia yang tidak lagi muda memerlukan kami lebih banyak bersenam dan melakukan aktiviti sihat bagi mengekalkan stamina,” ujar Fadly.
Ada emosi yang pelbagai termasuk gembira dan sayu saat melihat Padi Reborn akhirnya dapat merealisasikan impian mereka dan peminat untuk bermain di Malaysia. Barangkali, itu adalah hikmah di sebalik ketidakaktifan mereka beberapa tahun lalu.
Mantap
Kini selepas aktif dan mengisi banyaknya acara pentas, Padi Reborn yang mengaku senang kerana kembali sibuk menghiburkan peminat termasuk mengadakan konsert di ibu kota belum hilang pudar.
Bersama sang vokalisnya, Fadly, sosok lelaki yang digelar Opa itu menghipnosis Sobat Padi dengan ciri khasnya yang membius iaitu vokalnya.
Tidak pernah menggayakan busana berlebihan atau mencuba terlalu keras untuk memastikan khalayak memperhatikannya, Fadly sebaliknya sering tampil dengan hanya baju-T dan topi. Pernah dinobatkan sebagai salah seorang pemilik vokal bernilai jutaan rupiah di Indonesia, Fadly menyita perhatian khalayak dengan sederhana.
Padi Reborn dikukuhkan oleh empat pemain instrumen lain yang bukan calang-calang. Piyu, gitaris utama kumpulan yang berasal dari Surabaya, Indonesia itu membuat peminat kagum bukan sahaja menerusi permainan dan skil kemasnya sewaktu memetik gitar jenama Gibson Les Paul Kamikaze Custom eksklusif miliknya.
Piyu bagaimanapun mencuri perhatian apabila selalu tampil ‘berlebihan’ terutama pada baju yang dipakai untuk disuai padan bersama instrumen utamanya itu.
Mengawangi bahagian dram, Yoyo, yang pernah terkait isu dadah dan sempat berehat panjang semakin mengetuk instrumen itu dengan padu.
Sesuatu yang sedikit berbeza mengenai penampilan Yoyo yang juga merupakan mantan suami Datuk Rossa itu saat bermain adalah dia sudah tidak lagi kerap merokok. Malah, Yoyo telah berhenti merokok, sekali gus mengamalkan kehidupan yang lebih sihat.
Sebaliknya, ‘ketagihan’ tersebut diganti dengan senyuman puas yang tidak pernah lekang setiap kali mengiringi lagu yang dimainkan.
Berdiri dan berpesta sama hebat adalah pemain bassnya, Rindra serta Ari (gitar kedua), telah melengkapkan sebuah kugiran yang matang.
Jika hanya Fadly seorang yang berdiri sebagai Padi Reborn atau hanya Piyu, kugiran ini tidak akan seimbang. Sebaliknya, lima kepala dengan kepelbagaian ideologi membuatkan Padi Reborn semakin kemas.
Selepas kugiran pembukaan, Pitahati selesai membuat persembahan, Padi Reborn membuka konsert sulung mereka dengan Sang Penghibur yang berentak rancak. Tanpa banyak bicara, mereka kemudian memuntahkan satu persatu hit yang pernah dihasilkan menerusi lima buah album studio Padi.
Antara yang mengundang ‘histeria’ berpanjangan adalah hit seperti Menanti Sebuah Jawaban, Mahadewi, Semua Tak Sama, Sahabat Selamanya, Sobat serta Seperti Kekasih. Setiap lagu mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Sobat Padi yang telah mengikuti rapat perkembangan mereka.
Di atas pentas yang sama, Padi Reborn tidak angkuh untuk berkongsi pentas bersama penyanyi tempatan, Aizat untuk berkongsi duet lagu Kasih Tak Sampai serta pemain dram muda tanah air yang cukup berbakat, Amira Syahira untuk berpadu lawan dengan Yoyo menyempurnakan lagu Bayangkanlah.
Usai konsert, penonton pulang dengan puas. Sementelah, mereka tidak menghampakan permintaan untuk mendendangkan sebuah lagu tambahan.
Padi Reborn memilih Hitam single yang terkandung dalam album Save My Soul yang dihasilkan pada tahun 2003 sebagai salam selamat tinggal. Terima kasih Padi Reborn yang telah memberi sebuah persembahan yang luar biasa untuk dikenang selepas lama tertunda.
Sesuatu yang menggembirakan hati Sobat Padi juga apabila Fadly mengumumkan mereka sedang mengerjakan album studio keenam, sekali gus yang pertama di bawah jenama Padi Reborn.