
Faizal Hussein mengamalkan formula tidak membawakan watak lelaki tua untuk memanjangkan usia karier dan kepercayaan penerbit terhadap kemampuannya walaupun sudah berusia 51 tahun.
Biarpun usianya sudah menjangkau angka 51 tahun, aura bintang aktor Faizal Hussein masih lagi bertahan dan ditawarkan watak hero dalam filem sehingga ke hari ini.
Justeru, pelakon yang popular menerusi filem Gila-Gila Remaja itu secara terang-terangan menolak untuk membawa watak orang tua dan watak yang disifatkan terlalu mudah sama ada dalam drama atau filem.
Bukan menolak rezeki tetapi menurut Faizal itu merupakan strategi untuk memanjangkan lagi jangka hayat kerjaya lakonannya.
Selain daripada itu, Faizal turut berkongsi pengalamannya berlakon dalam filem aksi berjudul Kalla: Hidup Atau Mati yang bakal bertemu peminat di pawagam pada 11 Oktober depan.
KOSMO!: Mengapakah Faizal jarang muncul dalam drama berbanding filem?
FAIZAL HUSSEIN: Sebenarnya selepas berlakon dalam filem Bunohan, saya memang memilih watak yang sukar untuk dibawa. Sebab itu saya jarang muncul dalam drama atau drama bersiri. Tawaran memang banyak tetapi pada saya kerja yang diberi dalam drama terlalu mudah.
Contoh watak yang paling banyak ditawarkan adalah watak bapa yang hanya memerlukan saya memutihkan rambut dan watak lelaki tua sakit.
Saya tidak boleh dan tidak bersedia untuk membawakan watak sebegitu. Sebelum ini pernahkah anda membawa watak lelaki tua?
Memang pernah contohnya dalam drama bersiri berjudul Jiwa. Saya terima kerana ada beberapa episod yang menunjukkan watak ketika muda.
Ada sebab kenapa pengarah ingin memperlihatkan watak itu menjadi tua. Jika dari mula episod sehingga ke akhir jadi orang tua, saya tidak mahu.
Adakah ini bermakna anda tidak mahu dilihat tua di kaca televisyen?
Bukan menolak rezeki tetapi jika terlalu banyak membawa watak bapa dan orang tua ia akan memendekkan jangka hayat saya sebagai seorang hero.
Sekarang walaupun sudah berusia 51 tahun saya masih ditawarkan watak sebagai hero filem terbitan orang lain bukannya terbitan sendiri.
Maknanya kepercayaan penerbit terhadap saya masih tinggi. Jadi, saya mahu kekalkan kepercayaan dan momentum tersebut.
Boleh kongsikan rahsia bertahan sebagai hero sehingga ke hari ini?
Pilih watak dan skrip yang bagus. Itu perkara yang paling penting. Selain itu, harus letak hati dan jiwa bukan sahaja dalam lakonan tetapi dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Saya percaya jika kita berusaha memberi yang terbaik, orang akan nampak hasilnya.
Apakah perkembangan terbaharu kerjaya seni anda?
Alhamdulillah selepas saya muncul dalam telefilem The Hantus terbitan Nabil Ahmad, pengarah dan penerbit mula terbuka mata bahawa saya juga boleh membawa watak komedi.
Mungkin ramai yang terlupa, saya pernah membawa watak komedi dalam filem XX Ray sebelum membawa watak berat dan aksi bermula tahun 2000.
Mengapakah anda menerima tawaran dalam filem Kalla: Hidup Atau Mati?
Skripnya sangat menarik kerana ia sangat berbeza dengan watak yang pernah saya bawakan sebelum ini. Saya memegang watak pakar sejarah bernama Dr. Ezahar yang terlibat secara tidak langsung dalam misi kumpulan pengganas yang ingin mencari harta karun tinggalan Sultan Mansur Shah.
Selain itu barisan pelakonnya juga terdiri daripada orang-orang hebat seperti Vanidah Imran, Azhan Rani dan Zaidi Omar.
Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang penggambaran filem tersebut?
Tidak pernah berlaku sepanjang kerjaya lakonan, saya akan terlibat dalam setiap babak dan perlu berada di set penggambaran setiap hari. Biasanya pelakon akan ada hari rehat kerana tidak terlibat dalam beberapa babak.
Namun, filem ini berbeza kerana saya diperlukan berada di set sepanjang 50 hari penggambaran. Bukan itu sahaja, filem ini amat mencabar dari segi fizikal. Selain perlu stamina yang tinggi kerana banyak adegan berlari, hampir setiap hari saya akan mengalami kecederaan baharu.
Bengkak dan lebam itu perkara biasa, paling teruk dahi saya luka kerana terkena serpihan pasu yang diletupkan.
Harapan anda untuk filem Kalla: Hidup Atau Mati?
Saya harap peminat akan memberi sokongan dengan menonton filem ini di pawagam. Filem ini amat menarik kerana banyak adegan aksi dari mula hingga akhir. Peminat juga dapat melihat sisi berbeza Faizal Hussein.
Jika selama ini saya sering diberi watak yang handal berlawan tetapi dalam filem ini sebaliknya. Filem ini sebuah karya yang bijak tetapi masih boleh menghiburkan penonton.