Atilia Haron
Setiap pasangan berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga yang dibina.
Mana tidaknya, kehadiran zuriat tentu akan menambah bibit bahagia buat pasangan suami isteri dalam melayan telatah dan ragam mereka.
Namun, tidak semua pasangan bernasib baik dalam melayari bahtera rumah tangga untuk memiliki zuriat mereka sendiri.
Walaupun berat untuk menerima ketentuan ini, setiap yang berlaku sudah ditetapkan Allah SWT. Sebagai manusia kita perlulah berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan-Nya.
Bling! kali ini menyenaraikan 10 selebriti yang belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.
Jadi, sama-sama kita doakan semoga mereka dikurniakan anak dengan segera.
Izzue Islam
Jun lalu genap lima tahun usia perkahwinan pelakon dan penyanyi kacak, Izzue Islam dengan isteri tercinta, Nurinafilah Waharudin atau lebih dikenali dengan panggilan Awin.
Bagaimanapun, pasangan ini belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata. Baginya, soal anak adalah ketentuan rezeki yang ditentukan Allah. Sebagai hamba-Nya dia akan terus berusaha dan yakin dengan kurniaan teragung yang sering dinantikan pasangan suami isteri.
Datin Alyah
Walaupun sudah hampir lima tahun mendirikan rumah tangga dengan Datuk Ramli MS, Datin Alyah tidak pernah berhenti berdoa untuk dikurniakan zuriat sendiri.
Difahamkan pelantun popular lagu Jutaan Purnama itu pernah menjalani kaedah rawatan persenyawaan in vitro (IVF), namun belum dikurniakan zuriat.
Siti Elizad
Aidilfitri lalu pelakon Siti Elizad dikatakan berang dengan tindakan segelintir tetamu yang sering bertanya soalan berkaitan cahaya mata kepadanya selepas hampir dua tahun berkahwin.
Pemilik nama sebenar Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 34, ini meluahkan rasa kesal dan menyifatkan soalan itu sebagai sensitif dan tidak menghormati perasaan orang lain.
Seperti wanita lain, Elizad juga mengimpikan kehadiran cahaya mata namun menyerahkan segalanya kepada aturan Tuhan.
Elizad mendirikan rumah tangga dengan duda dua anak, Shamsul Baharin Rahman, 46, pada 11 Januari 2015.
Achey
Selepas lapan tahun menanti kehadiran zuriat, pelakon dan pelawak Achey mengumumkan khabar gembira apabila membuat keputusan untuk mengambil seorang bayi perempuan yang diberi nama Nur Tiara Zinnirah Nasir sebagai anak angkat bagi menyempurnakan kehidupan mereka.
Sebelum ini Achey dan isteri, Nor Hasanah Yahaya memberitahu mereka akan tetap berusaha memperoleh zuriat secara normal dan sudah membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur sejak awal Mac tahun lalu sehingga ke peringkat terakhir iaitu kaedah IVF.
Hazama
Sekitar awal tahun lalu, Hazama pernah melalui detik yang agak menyedihkan sebagai suami apabila kandungan pertama isterinya, Genervie Kam terpaksa dibuang.
Hal ini kerana kandungan yang sepatutnya berusia sekitar dua bulan itu disahkan doktor menempel pada bahagian luar rahim, sekali gus berisiko mengancam nyawa isterinya.
Namun, Hazama dan Genervie tetap berusaha mendapatkan zuriat dan percaya pada rezeki Allah.
Azza Elite
Empat kali mengalami keguguran bukan perkara yang mudah untuk diterima oleh mana-mana wanita yang sudah berumah tangga.
Lebih-lebih lagi jika keinginan untuk menimang anak itu sudah lama ditanam dalam hati agar potret sebuah keluarga bahagia yang dibina nampak sempurna di mata.
Itu yang dirasakan Azza Elite, 35, selepas mendirikan rumah tangga dengan Azlan Zulaily pada 2012.
Datuk Adi Putra
Isteri pelakon Datuk Adi Putra iaitu Zuhaidah Yusof atau Aida mendedahkan pernah membuat ujian IVF sebanyak 14 kali untuk mendapatkan zuriat dan hanya dapat merasai hamil selama tiga bulan.
Adi dan Aida berkahwin buat kali pertama pada 14 April 2006 namun tidak dikurniakan cahaya mata dan mengambil seorang anak angkat, Zara Adelia yang kini berusia enam tahun.
Atilia Haron
Bulan depan genap empat tahun usia perkahwinan penyanyi Atilia bersama suaminya, Adam Sofian Mazlan, namun pasangan ini belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.
Atilia bagaimanapun sedar rezeki belum menyebelahi mereka dan masih berusaha menjalani pelbagai rawatan.
Terdahulu perkahwinan pertama Atilia bersama bekas suaminya, Allahyarham Ariff Johan Abdul Aziz juga tidak dikurniakan anak selepas hidup bersama selama 10 tahun.
Umie Aida
Perkahwinan Datin Paduka Umie Aida dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan yang memasuki usia lapan tahun turut belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.
Bagaimanapun, Umie dilihat bahagia membesarkan dua anak angkatnya iaitu Mohd Daniel Firdaus, 24, dan Mohd Dzulhelmy, 23.
Mark Adam
Selama 14 tahun melayari bahtera perkahwinan, Mark Adam dan isteri, Nor Azad Redzuan reda apabila rezeki untuk menimang cahaya mata belum memihak kepada mereka.
Buat masa ini Mark tidak merancang mengambil anak angkat namun tidak menolak berbuat demikian pada masa akan datang.