Berasakan dirinya kurang fasih bertutur bahasa Malaysia membuatkan penyanyi Alvin Chong gementar mengacara program hiburan I Can See Your Voice Malaysia.
Alvin yang juga pelakon mengambil masa dua minggu mempertimbangkan tawaran sebelum bersetuju mengendalikan program itu bersama pelawak Shuk Sahar.
“Pada mulanya saya mahu tolak tawaran itu kerana tidak yakin dengan tahap penguasaan bahasa Malaysia serta bimbang sukar mengawal situasi ketika program berlangsung.
“Namun, kata-kata semangat rakan selain pertanyaan berkali-kali daripada pihak stesen televisyen sedikit sebanyak meyakinkan saya untuk menyahut cabaran itu,” katanya pada sidang media I Can See Your Voice Malaysia.
Di awal rakaman program, anak muda kelahiran Pulau Pinang itu mengakui banyak melakukan kesilapan hingga rasa serba salah.
“Oleh kerana saya banyak salah cakap, tempoh rakaman berlanjutan sehingga lima jam.
“Saya bersyukur Shuk dan Jihan Muse banyak menaikkan semangat saya serta memberi tunjuk ajar.
“Saya turut menonton I Can See Your Voice versi Indonesia, Thailand, Filipina dan China sebagai rujukan,” katanya.
Pelakon drama Awak Suka Saya Tak itu turut memberitahu, dia belajar bertutur bahasa Malaysia dengan kru produksi.
“Bagaimanapun, mereka ada menggunakan bahasa pasar. Risau juga kalau saya tercakap perkataan kurang sesuai ketika mengacara dan menjadi bahan jenaka penonton nanti,” katanya.
Sehubungan itu, Alvin bersedia berdepan kritikan penonton apabila I Can See Your Voice Malaysia bersiaran di ntv7 mulai 4 Ogos ini.
“Apabila berada dalam bidang ini, situasi seperti itu sukar dielakkan. Memang ada netizen cakap bukan-bukan mengenai saya.
“Bagaimanapun, saya hanya terima nasihat yang boleh membina karier seni. Mana yang negatif termasuk cacian, saya buat tidak tahu saja,” katanya.
Bagi Alvin, sekiranya netizen bersikap kurang ajar abaikan saja agar tidak mengundang masalah kemudian hari.
“Kalau ada masa lapang, barulah saya sekat mereka di media sosial. Namun, selalunya peminat akan bantu mempertahankan saya,” katanya.
I Can See Your Voice Malaysia berdasarkan format program sama Korea Selatan.
Dalam setiap episod, artis jemputan perlu menyingkirkan penyanyi misteri yang dirasakan penyamar suara sumbang.
Penyanyi misteri yang berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai penyamar akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Antara penyanyi jemputan untuk program itu ialah Cakra Khan, Pasha Ungu, Mark Adam, Misha Omar, Ayda Jebat dan Dayang Nurfaizah.