Sering dilabel sebagai band kampung, ia sedikit pun tidak menjejaskan semangat Projector Band untuk terus memperjuangkan muzik yang dibawa.
Sebaliknya, band yang dianggotai Is sebagai vokalis, Angah (gitar utama), Edi (gitar kedua), Mat (bass) dan Apit (dram) terus mengorak langkah dan membuktikan mereka mampu berjaya dan berdiri sama tinggi dengan band rock sedia ada.
Buktinya, selepas lima tahun berada dalam industri muzik tanah air, Projector Band yang berasal Kuala Kubu Bharu, Selangor ini bakal mengadakan konsert sulung iaitu Konsert Sudah Ku Tahu 2018 yang bakal berlangsung pada 28 Julai ini di Quill Convention Centre, Quill City Mall, Kuala Lumpur.
Is berkata, penganjuran konsert itu sekali gus membuka mata segelintir pihak yang sebelum ini sering memperkecilkan kemampuan mereka.
“Orang selalu panggil kami band kampung disebabkan lagu dan muzik yang dibawakan. Bagi saya, tidak mengapa malah jauh sekali nak menjejaskan moral kami.
“Diakui kami memang berasal dari kampung. Semua orang tahu perkara ini dan tidak pernah kami sembunyikan. Cuma, sejak awal kemunculan lagi kami memang optimis dengan muzik dibawa.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh lima tahun ini lagu kami diterima baik. Jadi, dengan penganjuran konsert ini ingin dibuktikan yang kami boleh buat. Pada masa sama, nak beritahu kami sudah ada konsert sendiri,” katanya.
Menurut Is, dia berbangga apabila ada pihak yang sudi menganjurkan konsert untuk band mereka iaitu JW Live Productions Sdn Bhd.
“Sejujurnya, kami terkejut apabila dimaklumkan pihak syarikat rakaman yang ada pihak nak menaja dan menganjurkan konsert untuk kami.
“Lagipun, sekarang sangat susah untuk sesebuah band atau penyanyi nak mengadakan konsert kerana ketiadaan penaja. Apabila kami diberi peluang, ia satu rahmat.
“Bagi saya ini satu amanah sekali gus meletakkan kepercayaan kepada kami untuk memberikan persembahan terbaik. Dalam erti kata lain, kami bangga sebab dipilih daripada kebanyakan band sedia ada,” katanya.
Projector Band yang pernah memenangi tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-31 menerusi single Sudah Ku Tahu bakal mempersembahkan 11 lagu yang terdiri daripada lagu mereka dan lagu kumpulan lain.
Pada konsert itu juga, Is berkongsi mereka menggunakan khidmat komposer terkenal, Johari Teh selalu pengarah muzik.
“Kami sudah berlatih sejak sebulan lalu. Apa yang dititikberatkan adalah dari segi susunan lagu dan persembahan. Semua lagu mendapat susunan semula yang berbeza daripada muzik sebelum ini.
“Memandangkan ini adalah konsert, jadi kami tidak mahu ia sama dengan persembahan biasa. Jadi, kami cuba masukkan elemen lain dalam setiap lagu dan disesuaikan dengan persembahan konsert.
“Selain lagu kami sendiri, ada beberapa lagu daripada band lain turut dipersembahkan. Antaranya, lagu Fantasia Bulan Madu (Search), Matahari (Amuk) dan I Don’t Want to Miss a Thing (Aerosmith),” katanya.
Pada konsert ini juga, mereka bakal mempersembahkan single terbaru yang akan dikeluarkan tahun ini, Setia Menantimu.
Bagi yang ingin menyaksikan konsert, tiket boleh didapati di Ticket Charge Quill City Mall, Kuala Lumpur atau di www.ticketcharge.com.my dengan harga RM50 (normal) dan RM 100 (VIP).
Rancang persembahan jelajah
Pada masa sama, Is berkongsi Projector Band juga merancang mengadakan konsert siri jelajah selepas konsert itu nanti.
“Perkara ini sedang dalam perancangan. Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar kami akan buat selepas konsert ini.
“Kami memang sudah lama nak menjayakan persembahan di beberepa negeri lain. Kami percaya peminat Projector Band ada di mana-mana.
“Insya-Allah, konsert yang bakal berlangsung ini adalah pengukur untuk kami terus melangkah jauh. Walaupun ini pengalaman baru, kami akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.