Tidak memerlukan masa yang panjang untuk mengenali hati budi masing-masing, Awi Rafael (kiri) dan Atikah Suhaime bakal bergelar suami isteri pada tanggal 17 Mac tahun depan.
Penyanyi Awi Rafael mengakui penghasilan lagu-lagunya berunsur ketuhanan merupakan salah satu daripada proses penghijrahan dirinya ke arah yang lebih baik.
Secara tidak langsung, usaha sebegitu membuatkan Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 32, memainkan peranan menyebarkan kesedaran dan mesej positif terhadap masyarakat dan peminat menerusi lagunya.
“Lagu-lagu yang dicipta bukan tentang diri dan muzik semata-mata tetapi penulisannya menyentuh banyak perkara dalam hidup yang perlu disyukuri.
“Sebagai contoh, saya bersyukur kerana dikurniakan rakan-rakan yang baik, keluarga dan kehidupan yang bahagia sekarang,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya di Suka Sucre Bistro, Jalan Cheras baru-baru ini.
Dia yang muncul dengan single baharu berjudul Ini Semua Manusia turut mendedikasikan karyanya kepada rakan-rakan artis serta orang luar yang berhadapan masalah seperti depresi agar dapat kembali membina semangat.
Dalam proses, Awi kini giat menyiapkan album terbaharunya berjudul Euporia yang mengandungi enam buah lagu baharu serta dua lagu bonus yang akan dilancarkan menjelang hujung tahun ini.
“Senang cerita, album ini berkisarkan manusia yang tidak putus asa meskipun didatangi pelbagai ujian kerana ia sebenarnya menjadikan kita manusia yang lebih kuat,” jelasnya.
Dalam album tersebut, Awi bakal berkolaborasi dengan beberapa artis popular seperti Altimet, Kaka Azraff, Maya Karin dan Yasin Sulaiman.
Bersatu
Sementara itu, berbicara tentang perancangan pernikahannya bersama pelakon Atikah Suhaime, Awi berkata, mereka memilih tarikh 17 Mac tahun depan untuk disatukan sebagai suami isteri.
Jelas pelantun lagu Kalau Aku Kaya itu, mereka sengaja memilih tarikh istimewa berkenaan kerana ia merupakan tarikh ulang tahun kelahiran Atikah.
“Setakat ini urusan ke arah itu berjalan lancar kerana keluarga banyak membantu dari segi pemilihan lokasi, manakala kami sedang menguruskan soal jurunikah dan sebagainya.
“Insya-Allah, majlis akan diadakan di Singapura dan rakan media di negara ini turut dijemput ke sana. Untuk majlis di Kuala Lumpur, memang ada perancangan tetapi bagi saya biarlah majlis di Singapura selesai terlebih dahulu,” ujarnya yang mengikat tali pertunangan pada 17 Mac lalu.
Bagi Atikah pula, perkenalan rapat selama tiga bulan bukan penghalang untuknya membina hidup bersama Awi kerana sebelum ini mereka telah lama mengenali satu sama lain.
Ditanya tentang keperibadian lelaki yang bakal menjadi suaminya itu, Atikah, 27, menyifatkan Awi sebagai lelaki budiman dan menghormati orang tua.
“Saya selesa meneruskan hubungan ini kerana jujurnya semua orang sukakan dia. Pendek kata, dia disenangi ramai. Malah cara dia menjaga ibunya yang kurang sihat membuka mata saya bahawa dia seorang lelaki baik.
“Kalau dia boleh menjaga ibunya sebaik itu, saya yakin dia juga mampu menjadi pelindung terbaik untuk saya kelak,” katanya.
Berkongsi sedikit perkembangan terkini, Atikah juga bakal bergelar penyanyi dengan single pertama yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.