Hafreez Adam tidak mahu tunang


Sejak pasangan pelakon Hafreez Adam dan Zara Zya, 33, mendedahkan mereka kini menjalin hubungan cinta sejak April lalu, ramai peminat yang menitipkan doa serta restu terhadap perhubungan tersebut.

Bagi Hafreez atau nama sebenarnya, Hafreez Adam Aizat Zahalan, 28, perkara tersebut sebenarnya sesuatu yang tidak dijangka kerana sebelum mereka bersetuju mengakui bercinta, pelbagai tanggapan yang bermain di fikiran.

Mengakui risau perbezaan umur mungkin menjadi bahan bualan orang, pelakon Hati Perempuan itu juga bimbang andai percintaan mereka disalah anggap sengaja mahu menjaja kisah peribadi.

Namun, ternyata segala pemikiran itu tidak benar apabila semakin lama, ramai yang tidak sabar menyaksikan kisah cinta mereka akan disimpul dengan ikatan perkahwinan.

KOSMO!: Apakah sebab utama Hafreez mahu berterus terang tentang hubungan cinta dengan Zara sewaktu awal dahulu?

HAFREEZ: Sebenarnya keputusan ini adalah tindakan yang mungkin tidak akan dibuat oleh diri saya sewaktu menjadi selebriti lima tahun lalu kerana dahulu, saya berpegang prinsip tidak mahu bercakap soal peribadi.

Namun apabila dengan Zara, saya rasa lebih baik berterus terang sebelum peminat berasa tertipu memandangkan kami berdua adalah artis.

Jadi, jika tidak mengaku sekarang pasti akan dihidu orang lama-kelamaan nanti.

Anda berdua sudah berjumpa dengan keluarga masing-masing pada sambutan raya lalu. Adakah itu bermakna petanda hari bahagia sudah semakin hampir?

Setakat ini belum ada perbincangan serius antara keluarga kami berkenaan langkah seterusnya dalam hubungan kami.

Perjumpaan sebelum ini pun sekadar untuk berkenalan dengan lebih rapat memandangkan saya dan Zara sudah semakin serius.

Lagipun jadual kami tahun ini terlalu padat dan tidak ada ruang untuk sebarang majlis yang berkaitan dengan hubungan kami.





Berapa lama masa anda berikan untuk diri masing-masing sebelum membincangkan hal ini dengan serius?

Saya dan Zara ada berbincang dan kami bersetuju untuk memberikan hubungan ini tempoh setahun sebelum kami tentukan ke manakah hala tuju seterusnya.

Saya rasa setahun cukup untuk kami lebih saling mengenali sebagai pasangan berbanding hanya kawan sebelum ini.

Namun jika jodoh kami kua, insya-Allah, saya memilih untuk tidak bertunang dan mahu bernikah terus kerana enggan melengahkan masa.

Bilakah anda rasa masa sesuai untuk melangsungkan majlis jika tidak tahun ini?

Saya membayangkan awal atau pertengahan tahun hadapan kerana setakat ini, jadual kami berdua penuh hingga penghujung tahun 2018.

Doakan sahaja hubungan dan jodoh kami panjang agar niat mendirikan rumah tangga ini dipermudahkan.

Apakah yang membuat anda rasakan Zara adalah calon isteri yang terbaik untuk anda?

Dia seorang yang matang, mungkin kerana usianya yang lebih tua daripada saya. Saya juga saya nampak usahanya dalam menjayakan hubungan kami. Kami seperti dua orang kawan baik yang sedang bercinta dan saling melengkapi.

Tidak takut jika sudah berkahwin kelak, populariti anda dalam industri berkurangan?

Saya percaya kepada rezeki dan yakin, bila kita melakukan sesuatu yang baik pasti tidak akan sia-sia. Banyak contoh pasangan selebriti yang berkahwin tetapi kekal relevan seperti Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari atau Amar Baharin serta Amyra Rosli. Jadi, saya tidak risau.

Post a Comment

Previous Post Next Post