Amin (kiri) menggesa Safiey memadam semua gambar dan video yang berunsur kewanitaan di laman sosialnya.
Nampaknya, permohonanan maaf oleh usahawan kosmetik kontroversi, Safiey Illias seakan tiada makna selagi gambar-gambarnya yang berpakaian menyerupai wanita tidak dipadam di laman sosial.
Pendakwah muda, Pencetus Ummah (PU) Amin berkata, kenyataan maaf tersebut dianggap seperti main-main selagi video dan gambar yang berunsur wanita, pondan dan transgender masih dipaparkan di laman sosial Safiey.
Amin mendakwa bahawa akaun Instagramnya telah disekat oleh usahawan tersebut membuatkannya tidak dapat melihat kemas kini terbaharu oleh Safiey.
ARTIKEL BERKAITAN: Video kontroversi: Safiey Illias mohon maaf, janji tak akan cemar imej agama
"Saya dah kena sekat dengan Safiey, jadi saya tak dapat tengok Instagram dia sekarang.
"Saya harap tuntutan kita yang ketiga untuk dia padam video dan gambar pondan telah dilaksanakan.
"Barulah kita menerima dan faham kenyataan maaf itu," katanya menerusi posting yang dimuat naik pada Selasa.
Posting dimuat naik oleh Amin pada Selasa yang ditujukan kepada Safiey Illias.
Sebelum ini, mStar Online melaporkan usahawan kosmetik tersebut tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung video kontroversi membabitkan dirinya yang tular di media sosial.
Safiey berkata, beliau memohon maaf kepada pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, terutama pengikut laman sosialnya yang beragama Islam dan seluruh rakyat Malaysia.
Pemilik nama sebenar Mohd Saifuddin Ilias ini turut berjanji untuk tidak mengulangi perbuatannya yang mengganggu sensitiviti masyarakat dan mencemarkan agama Islam.
Antara gambar Safiey bersama rakan pada majlis terbuka Aidilfitri bersama anak yatim dan pelajar tahfiz.
Setakat ini, tinjauan mStar Online pada akaun Instagram usahawan kosmetik itu, @safieyillias94 mendapati Safiey masih tidak memadam kesemua gambarnya yang mengenakan pakaian wanita termasuk yang digayakan rakan-rakannya.
Kontroversi yang mengaitkan Safiey dan Amin timbul selepas video pengasas produk kecantikan itu tular di media sosial.
Video tersebut memaparkan aksi seorang penyanyi ‘wanita’ yang berkelakuan tidak sopan kepada seorang tetamu lelaki yang dirakam pada majlis pelancaran produknya, Sabtu malam.
Acara kurang sopan itu berlaku selepas majlis terbuka Aidilfitri anjuran Safiey yang dihadiri kira-kira 200 anak yatim dan pelajar tahfiz pada sebelah petang.