Mawar Rashid syukur dapat semula RM15,000


Pelakon Mawar Rashid meluahkan rasa syukur apabila berjaya mendapatkan semua wang RM15,000 miliknya selepas ditipu seorang wanita yang dikenali, baru-baru ini.

Menurut Mawar, tidak lama selepas membuat laporan polis dan perkara itu diketahui umum, wanita terbabit menghubungi dan berjanji untuk memulangkan wang Mawar.

"Alhamdulillah wanita berkenaan sudah pulangkan duit saya pada awal Julai lalu. Selepas membuat laporan polis dan perkara ini diketahui umum, saya ada hubunginya dan beritahu sekiranya dia tidak beri wang saya, saya akan dedahkan maklumat dirinya supaya tiada lagi yang tertipu.

"Tapi dia ada hubungi saya dan janji untuk pulangkan wang dan benar-benar berbuat demikian keesokannya.

“Bagaimanapun saya tidak tahu nasib selebriti lain yang mendakwa turut ditipu oleh wanita ini. Saya berharap dia sedar akan kesilapannya dan pulangkan semua duit yang diambil," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi penggambaran Raisha 2, baru-baru ini.

Tambah wanita berusia 23 tahun ini, kejadian tersebut sekali gus membuatkan dia cukup berhati-hati untuk menerima sesuatu tawaran.





“Jika kawan yang dikenali tergamak untuk menipu apatah lagi orang luar. Tambahan pula, bekerja dalam bidang seni ini kita bertemu dengan ramai orang baru.

“Namun selepas apa yang saya lalui, saya akan jadi lebih berhati-hati dan tidak akan mudah untuk percaya orang," katanya.

Sebelum ini Mawar mendakwa mengalami kerugian lebih RM15,000 apabila ditipu oleh wanita yang dikenalinya.

Jepas Mawar perkara ini sudah berlarutan sejak Oktober tahun lalu dan dia sudah memberi banyak masa untuk wanita ini menyelesaikan bayaran sepatutnya untuk 'job' yang dibuat membabitkan iklan makanan segera.

Mawar juga mendakwa wanita itu turut menipu beberapa selebriti lain seperti Izzue Islam, Raja Ilya dan Chacha Maembong.

Post a Comment

Previous Post Next Post