Kaka Azraff tertekan lihat kawan-kawan dah kahwin


Jika sebelum ini Kaka Azraff pernah meletakkan sasaran untuk berkahwin sebelum usianya mencecah 30 tahun, namun kini dia tidak terlalu memikirkan tentang itu kerana mempunyai misi yang perlu dipenuhi dalam kerjaya.

Bagaimanapun, pelantun lagu Bukan Hal Aku ini mengakui, sesekali dia ada berasa tertekan apabila melihat rakan-rakannya yang kini sudah berumah tangga, malah mempunyai anak.

“Memang kadang kala ada juga rasa tertekan bila tengok kawan-kawan ramai dah kahwin dan bahagia dengan kehidupan mereka, tapi saya percaya rezeki saya akan sampai juga nanti, cuma tak tahu bila.

“Jadi sementara sampai ‘rezeki’ tu, saya boleh fokus dulu pada kerjaya seni. Bila dah sibuk dengan kerja, tak adalah nak fikir sangat pasal tu,” ujar Kaka ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya, Sibuk, pada Rabu.

Dalam pada itu, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 29, tidak menafikan berkawan dengan ramai orang.





“Memang ramai yang cuba mendekati, tetapi mereka datang sebegai kawan dan bukan dengan bertujuan untuk perhubungan yang lebih serius.

“Saya juga pernah cuba untuk kenal-kenal orang, tapi buat masa ni belum menjadi. Ada benda-benda yang kita rasa tak kena dan tak sesuai untuk serius.

“Sebab itulah saya sentiasa ingatkan diri, jodoh tu bukan kita yang tentukan. Kalau cari macam mana pun, kalau belum tiba masanya ia tak jadi juga,” katanya yang sebelum ini pernah digosipkan dengan seorang pemuzik.

Menyentuh tentang kerjaya seninya, Kaka kini tampil dengan buah tangan terbaharunya buat peminat, Sibuk, yang menyaksikan kolaborasinya dengan Aliff. Single terbaharu ini bakal menemui peminat di kesemua platform digital mulai 20 Julai depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post