Tiada penaja Wani Kayrie batal impian ke LA


Hasrat penyanyi Wani Kayrie untuk menyertai pertandingan World Championship of Perfoming Arts 2018 (WCOPA 2018) yang kini sedang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat tidak kesampaian apabila gagal mendapat tajaan sehingga saat akhir.

Difahamkan Wani atau nama lengkapnya Syazwani Abdullah, 18, memerlukan tajaan wang tunai sebanyak RM20,000 untuk menampung perbelanjaannya sepanjang menyertai pertandingan tersebut di sana.

Menurut Wani sebagaimana yang dilaporkan sebuah akhbar, biarpun pihak penganjur telahpun menaja RM6,000, namun jumlah itu hanya mampu menampung sebahagian sahaja keperluan dan tidak mencukupi untuk menanggung kos lain.

“Saya tak jadi ‘terbang’ ke sana untuk menyertai pertandingan itu. Segala yang telah dirancang musnah kerana gagal memperoleh penaja untuk membiayai perbelanjaan di sana.

“Tidak dinafikan, perbelanjaan memang besar. Pihak penganjur telah pun menaja sebanyak RM6,000, namun masih tidak mencukupi untuk menanggung kos lain seperti pembelian tiket penerbangan, penginapan dan sebagainya.





“Kegagalan tersebut sekali gus membantutkan niat saya untuk kembali bertanding,” kata Wani.

Meskipun kecewa dengan apa yang berlaku, penyanyi yang popular dengan lagu Jangan Jangan ini, menganggap bukan rezekinya untuk menyertai pertandingan tersebut kali ini.

Sebelum ini pada tahun 2012, Wani pernah mengharumkan nama negara apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas, tiga pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi kategori junior dalam pertandingan yang sama.

Post a Comment

Previous Post Next Post