![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjJ0FXfVqmx-ZnXQt9tSHmzzPYU991Ljft_rX5iKsea_d_OcP3RJAXFjHEcb_R8_YdcxspPjd-kj3LORcTQKLo6WCKOw173gzpVqMaQr8TXI1Ds50Yv4k0PngXDZ5zrdvPVar9jIamlApc/s1600/Izzue+Islam.jpg)
Pelakon, Izzue Islam berkata dia mahu orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan akaun palsu yang mengaitkan namanya.
Justeru itu, sebagai usaha untuk membendung daripada orang ramai tertipu lagi, Izzue akan mempertingkatkan kesedaran kepada semua pengguna media sosial.
"Saya akan banyakan awareness dengan memuat naik gambar yang sama di semua media sosial seperti di Instagram, Twitter dan Facebook.
"Dengan cara itu pengguna media sosial tahu itu adalah Izzue yang sebenarnya.
"Selain itu, pastikan juga akaun Izzue yang mereka follow, ada tanda bluetick," jelas Izzue yang ditemui ketika sidang media Teater Akhirku di Istana Budaya yang dijadualkan pada 28 Ogos sehingga 2 September 2018, petang tadi.
Sebelum ini Izzue, 28, telah dituduh menipu duit peminat yang mendakwa telah membeli telekung daripadanya sejak Ramadan lalu.
Walau bagaimanapun, Izzue telah membuat laporan polis dan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada dua minggu yang lalu.
Ujar Izzue lagi, kes penipuan mengaitkan namanya bukan kali pertama berlaku tetapi pernah terbabit beberapa tahun lalu.
"Dua tiga tahun yang lalu saya pernah juga dituduh macam ni, pelaku terbabit menjual alat elektronik telefon bimbit. Namun isu itu pun sudah saya laporkan kepada pihak berkuasa," kata Izzue mengakhiri perbualan.