
Sejak menceburkan diri dalam bidang seni, Hunny Madu cukup dikenali sebagai penyanyi serba boleh. Berikan sahaja apa jenis lagu, bekas penyampai radio itu boleh membawakannya dengan baik.
Namun, dalam semua genre muzik yang pernah dibawa, pemilik nama sebenar Hani Farhana Mohd. Hatim itu dilihat ampuh mengukuhkan jenamanya sebagai penyanyi menerusi irama hip-hop.
Biarpun sentiasa berpegang pada paksi seninya, Hunny tidak terkecuali daripada menerima kritikan apabila ada sesetengah pendengar yang kurang gemar dengan karya-karyanya.
Menurut mereka, karya Hunny bersifat terlalu urban, memandangkan kekerapan wanita berusia 34 tahun itu menggunakan lirik rojak, iaitu lirik campuran bahasa Melayu dan Inggeris dalam lagu.
Tidak mengambil serius terhadap cakap-cakap nakal tersebut, Hunny yang ditemui pada majlis amal Harlow’s & MGI di ibu kota baru-baru ini berkata, setiap lagu yang ditulis datang secara ikhlas daripada dirinya sendiri.
Ujar Hunny yang popular dengan lagu Go Hard Or Gostan, berbahasa rojak sudah menjadi sebahagian daripada rutin hariannya dan rakyat Malaysia. Jadi, tidak salah jika dia mahu mengangkat budaya itu ke dalam lagunya.
Dalam pada itu, Hunny turut bercerita mengenai single terbaharunya yang berjudul TYVM (Thank You Very Much).
KOSMO!: Hunny, melihat pada perkembangan kerjaya anda, kebanyakan karya-karya anda yang popular ditulis menggunakan bahasa rojak. Ada yang menyukai lagu-lagu seperti itu dan sebaliknya. Sebagai salah seorang pelopor lagu-lagu urban, bagaimanakah anda melihat persepsi tersebut dalam kalangan pendengar muzik tempatan?
HUNNY: Tidak dinafikan, sebagai seorang penyanyi, kita akan menerima pelbagai respons daripada masyarakat mengenai karya-karya kita. Jika kita terlalu terpengaruh dengan kritikan orang, kita akan terkongkong dan hasilnya, karya tidak berkembang.
Bagi saya, campuran bahasa Melayu dan Inggeris bukanlah satu masalah besar. Ramai orang berbuat begitu secara lisan termasuk saya. Jadi, saya cuma menjadi diri sendiri dan mengaplikasikan rutin tersebut dalam lagu.
Bagaimana pula jika karya anda sukar untuk memenuhi selera masyarakat tempatan?
Tidak mengapa, saya tidak kisah. Jika khalayak tidak terima, ia bukan masalah bagi saya kerana itu selera masing-masing. Cuma saya berharap, jika mereka tidak dapat menerima karya saya hari ini, lagu tersebut akan menjadi kayu pengukur 10 atau 20 tahun akan datang.
Adakah anda risau jika karya-karya rojak anda tidak dipandang serius terutama oleh majlis-majlis anugerah?
Berkenaan dengan majlis anugerah dan pengiktirafan, saya meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada lagu yang saya terbitkan. Jika ia lagu yang baik, sudah pasti akan mendapat perhatian juri.
Sebagai contoh, lagu Go Hard Or Gostan yang turut menampilkan Kayda dicalonkan menerusi kategori Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik Ke-22 (AIM22) sekitar dua tahun lalu.
Bayangkan, pada waktu itu kami berasa sangat teruja kerana bertanding dengan penyanyi hebat lain seperti Misha Omar, Hafiz Suip, Najwa Mahiaddin, SonaOne dan Joe Flizzow.
Bagaimana pula pendapat anda dengan kuantiti penyanyi rap wanita tempatan yang tidak seramai penyanyi rap lelaki?
Seperti kita sedia maklum, genre hip-hop masih baharu di Malaysia. Jika diimbas kembali, genre ini dipopularkan oleh kumpulan Too Phat dan kemunculan mereka adalah sekitar 15 tahun lalu.
Jadi, tentulah bilangan penyanyi rap wanita tidak sebanyak penyanyi rap lelaki. Bagaimanapun, saya yakin bilangannya akan bertambah pada masa akan datang.
Boleh kongsikan sedikit mengenai perkembangan terbaharu anda?
Saya baru memasarkan single berjudul TYVM (Thank You Very Much) awal minggu ini. Biarpun judulnya dalam bahasa Inggeris, namun lirik lagu ini sepenuhnya dalam bahasa Melayu.
Lagu ini boleh dikategorikan sebagai lagu rakyat yang bertemakan sindiran. Selepas penerbitan single, klip video TYVM akan menyusul dan kemudian barulah album penuh.