Haslinda Saya rindu menyanyi


Nama penyanyi Haslinda pernah meniti di bibir peminat menerusi lagu popularnya, Sehati dan Sejiwa yang dihasilkan pada 1998.

Malah, lagu itu terus mencetuskan fenomena apabila dijadikan lagu tema drama bersiri popular Cinderella yang menggandingkan Haliza Misbun dan Ahmad Idham selaku teraju utama.

Selepas dikenali menerusi lagu Sehati dan Sejiwa, penyanyi kecil molek bersuara lantang dari Klang, Selangor ini terus menyepikan diri.

Sekian lama menghilang, Haslinda, 40, merancang membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian.

Sebagai permulaan, Haslinda bakal menghasilkan bingkisan album mini bersama barisan artis era 90-an tidak lama lagi.

“Terus terang, saya rindu untuk kembali menyanyi.

“Walaupun lama menyepi, saya masih mengikuti perkembangan industri hiburan tanah air.

“Sebagai persediaan untuk buat kemunculan semula, saya giat berdiet dan berusaha mengembalikan semula stamina.

“Mengenai album mini pula, ia menampilkan lima penyanyi dan lagu baru. Barisan artis terbabit ialah Mac Ruhayu, Azie, Azura Aziz dan Norli Tamam (Kumpulan Primadona).

“Insya-Allah, saya turut merancang menghasilkan single baru pula selepas ini,” katanya.

Mengenai populariti lagu Sehati dan Sejiwa pula, kata Haslinda, dia menganggapnya sebagai rezeki daripada Allah SWT.

“Alhamdulillah, saya bangga lagu Sehati dan Sejiwa masih mendapat tempat di hati peminat sampai sekarang.

“Pada masa sama, pihak stesen TV juga mengimbas populariti lagu itu dengan menayangkan semula drama bersiri Cinderella.

“Kekuatan lagu Sehati dan Sejiwa terletak pada melodinya, malah liriknya mudah difahami. Sekali dengar saja, lagu ini sudah mencuri hati pendengar,” katanya.

Bagaimanapun, Haslinda tidak menyesal meninggalkan dunia glamor ketika namanya berada di kemuncak populariti.

“Selepas berkahwin, saya terus mengikuti suami yang bertugas di Terengganu serta terus menetap di sana pada 2007.

“Saya memutuskan untuk berehat daripada bidang seni untuk memberi perhatian terhadap rumah tangga kerana anak masih kecil,” katanya.






Bersama suami, Syarinoor.

Rumah tangga bahagia

Beralih sisi peribadinya pula, Haslinda mengakui rumah tangga yang dibina selama 11 tahun bersama suaminya, Syarinoor Sahimi, 45, yang juga kakitangan Bank Negara Malaysia bahagia sampai ke hari ini.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia serta lengkap dengan kehadiran tiga cahaya mata iaitu Eidorra Kasih, 11, Eidorra Sofia, 9 dan Scyazriee Di Maria, 8.

“Selain menjadi suri rumah sepenuh masa, saya juga menjadi jurusolek dan mengandam pengantin

“Suami tidak menghalang hasrat untuk kembali aktif menyanyi tahun ini,” katanya.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian, Haslinda sempat menghasilkan tiga album termasuk kompilasi.

Album pertamanya berjudul Sebening Cinta dihasilkan pada 1997, Haslinda (1998), Telus Asmara (1999) dan album kompilasi Haslinda Cinderella (2003).

Lagu Sehati dan Sejiwa di muatkan dalam album sulung. Selain lagu itu, Haslinda juga dikenali menerusi lagu Sebening Cinta, Telus Asmara, Mungkinkah kitakan Bersama dan Hakikatnya Ku Terluka.

Post a Comment

Previous Post Next Post