Gabungan Johan, Zizan selepas enam tahun


Selepas kejayaan program Super Spontan dan Maharaja Lawak Mega, kini pihak Astro Warna memantapkan lagi seleksi programnya dengan memperkenalkan slot baharu, Lawak Live.

Ia merupakan slot yang mengetengahkan satu program, Jozan yang mana ia menggabungkan semula dua nama besar iaitu pelawak, pelakon serta pengacara yang tidak asing lagi, Johan dan Zizan Razak sebagai pengacara setelah enam tahun mereka membawa haluan masing-masing.

Jozan yang berdurasi selama satu jam harus ditonton oleh penggemar program lawak.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh memberitahu, pihaknya sentiasa tampil dengan idea terbaharu untuk memberikan pilihan terbaik kepada penonton termasuk program tersebut.

“Syukur alhamdulillah, saluran Astro Warna terus bergerak maju dan tidak pernah sunyi dengan kehadiran pelbagai seleksi program komedi buat penonton sejak Januari lalu.

“Kini, kami mengambil satu lagi langkah ke hadapan dengan memperkenalkan satu program terbaharu, Jozan. Uniknya program ini, ia merupakan satu-satunya program siaran langsung di Astro Warna yang tidak terikat dengan satu-satu format,” ujarnya.

Bagi menghiburkan lagi penonton, pelbagai kandungan ‘dihidangkan’ dalam program berkenaan.

“Perkara paling utama dalam perjalanan program ini adalah kandungan yang memberi gelak tawa kepada penonton.

“Justeru, kami membawakan pelbagai bentuk pengisian hiburan komedi seperti nyanyian, sketsa, cabaran santai, debat komedi, bual bicara serta lain-lain pada setiap minggu bersesuaian dengan topik yang dibincangkan,” katanya.





Jozan dibahagikan kepada lima segmen yang mana setiap satunya mengandungi pengisian aktiviti hiburan berbeza selain turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular tanah air setiap minggu.

Secara keseluruhannya, terdapat 22 bentuk aktiviti hiburan yang bakal menghiasi Jozan termasuk Perang Jantina, Bakat Ke Laut, Kita Ke Mahkamah, Lip Sync Battle dan Bual Bicara.

Program ini juga bakal menyaksikan penglibatan secara langsung daripada penonton.

Terdapat satu segmen khas untuk penonton menonjolkan bakat dan berpeluang untuk menentukan cabaran yang harus dilakukan oleh Johan dan Zizan.

Di samping itu, penonton juga boleh melontarkan idea-idea bernas berkaitan program dengan memberi maklum balas di media rasmi Jozan untuk perhatian pihak penerbitan.

Bakal ke udara selama 40 minggu, Jozan bersiaran secara langsung setiap hari Selasa bermula 24 Julai lalu pukul 10 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Post a Comment

Previous Post Next Post