Fazley Yaakob Dapat tawaran tajaan bersanding semula


Selepas tular kisah ingin bersanding semula sempena ulang tahun perkahwinan ke-12 tahun ini, penyanyi Datuk Fazley Yaakob mendedahkan dia menerima beberapa tawaran tajaan.

Fazley bagaimanapun belum memutuskan menerima tajaan itu memandangkan majlis mahu dilakukan bersama isterinya, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz secara sederhana.

“InsyaAllah perancangan untuk bersanding semula akan dilakukan pada hujung November depan kerana kami bernikah pada 7 November, mungkin dalam minggu itu.

“Saya gembira apabila ramai ingin menaja pada majlis persandingan semula kami. Saya belum memutuskannya lagi kerana majlis dibuat bukan secara besar-besaran,” katanya pada majlis pelancaran restoran Mamanda Kuala Lumpur di Tournament Players Club (TPC) Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Fazley, sebab utama dia ingin melaksanakan majlis terbabit secara sederhana adalah untuk meraikan ahli keluarga, rakan-rakan dan teman media yang tidak dapat hadir pada majlis perkahwinan lalu.





Katanya lagi, hasrat terbabit adalah janji pernah dibuat kepada arwah bapanya.

“Pada majlis perkahwinan kami sebelum ini saya jemput 100 media tapi yang datang hanya lapan orang malah ada yang datang itu diberhentikan kerja.

“Saya juga menerima panggilan rakan media yang mohon maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis dan minta dibuat lagi jika ada rezeki.

“Selain itu, arwah ayah pernah pesan, kalau sampai waktu sesuai dia mahu kami bersanding semula,” katanya berhasrat mengadakan majlis itu dengan bertemakan tradisional moden atau Bollywood.

Fazley dan Azrene berkahwin pada 7 November 2006.

Mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8, dan Ahmad Fierudz, 7, dan Alayna Salma, lapan bulan.

Wedding (MY)

Post a Comment

Previous Post Next Post